Pelakon Haidar Hasanudin bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan apabila nyaris disondol seekor lembu korban pada Ahad lalu.
Haidar berkata, insiden itu berlaku dalam sekelip mata selepas tali yang digunakan untuk mengikat haiwan terbabit terlepas daripada ikatan.
Katanya, ketika kejadian dia bersama beberapa orang rakan sedang berehat sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembu berkenaan.
“Ia satu pengalaman lucu buat saya pada tahun ini. Perkara itu berlaku secara tiba-tiba sewaktu saya bersama beberapa orang rakan sedang duduk bersantai.
“Kemudian kami lihat ada seekor lembu sedang berlari laju seakan menuju ke arah kami.
“Pada masa sama, saya juga ternampak sekumpulan jemaah surau mengejar lembu itu dari arah belakang,” jelasnya.
Haidar walau bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana kejadian tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada sesiapa.
“Jika nasib kurang baik, hampir-hampir kami juga akan menjadi mangsa ‘rempuhan’ lembu itu.
“Sekiranya benar itu berlaku, memang tak dapat jadi pelakon selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Haidar memulakan kerjayanya sebagai pembantu produksi belakang tabir sebelum mendapat tempat membintangi drama bersiri Tetuan Ang & Rahimin. – Agensi