Hairi pantang wanita dikasari

Pesanan bapa tidak naik tangan pada wanita menyebabkan juara program realiti, Anak Wayang, Hairi Safwan, 32, ‘tersentak’ melihat insiden seorang lelaki melakukan kekasaran dan memanggil wanita yang dipercayai isterinya dengan panggilan tidak elok di depan khalayak, Khamis lalu.

Akibat cuba meleraikan pergaduhan pasangan berkenaan, Hairi pula dikasari oleh lelaki berkenaan. Umpama tindakan refleks, pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah yang sedang mendukung anak keduanya Azad Hakim, 3, terpaksa bertindak mempertahankan diri.

“Saya bukan hendak berlagak hero, tetapi saya sudah berumah tangga. Lagipun, saya sudah diajar bapa supaya jangan sesekali membiasakan diri naik tangan pada wanita. Macam mana marah sekalipun, elak kekasaran, sebaliknya lepaskan pada benda lain.

“Insiden ini pula berlaku ketika waktu maghrib. Sepatutnya, kita perlu menghormati waktu berkenaan dengan tidak berbuat bising dan sebagainya. Tetapi, ketika berjalan berhampiran dengan pasangan berkenaan untuk ke farmasi, saya terdengar lelaki berkenaan memanggil wanita berkenaan dengan satu panggilan yang tidak baik.

“Tidak mahu perkara lebih teruk berlaku, saya menegur lelaki ini secara spontan dan memintanya bertenang. Tetapi, saya pula dikasari. Terkejut dengan tindakannya, saya yang sedang mendukung anak terpaksa mem-pertahankan diri,” katanya kepada media.

Akibat cuba meleraikan pergaduhan, Hairi dikasari seorang lelaki yang tidak dikenali. – Agensi

Pelakon drama Seindah Takdir Cinta dan Kerana Terpaksa Aku Relakan itu berkata, lelaki berkenaan kemudiannya bertindak melawannya.

“Saya kena mempertahankan diri, tetapi lelaki berkenaan masih tak berputus asa apabila terus melawan, tetapi sebaik saya membuka penutup mulut dan hidung, lelaki itu terkejut dan tidak lagi bertindak ganas.

“Mungkin mengenali saya kerana sebaik membuka penutup mulut dan hidung, dia nampak terkejut dan berhenti menyerang saya,” katanya.

Pelakon yang kini bergelar pengarah itu berkata, dia memohon maaf dan bertanya jika lelaki berkenaan membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, lelaki itu enggan membesarkan kes berkenaan, sebaliknya kami saling bermaafan,” katanya. Hairi berkata, timbul juga kebimbangan seandainya kes berkenaan menjadi tular, tetapi tidak ramai orang awam berada di lokasi yang terletak di Subang ketika kejadian berlaku.

Bagaimanapun, kata Hairi, mereka yang menyaksikan insiden pergaduhan pasangan berkenaan berterima kasih kepadanya kerana berjaya meleraikan pergaduhan. Kebanyakan tidak berani mencampuri urusan rumah tangga pasangan berkenaan.

“Bohonglah jika saya tidak takut insiden menjadi tular kerana saya bergaduh sambil mendukung anak. Saya pun tidak tahu kenapa saya tidak melepaskan langsung anak daripada pegangan ketika itu.

“Sebaik masuk ke kereta, saya kena bebel dengan isteri kerana tindakan berkenaan boleh membahayakan anak,” katanya. – Agensi