Pelakon Hairul Azreen memberitahu dia dan isteri iaitu Hanis Zalikha mempunyai cara tersendiri untuk mendidik anak-anak mereka.
Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris berkata, dua orang anaknya iaitu Yusuf Iskandar, 6, dan Alisa Aisyah, 3, lebih takut dengannya berbanding isteri. Bagaimanapun, Hairul berkata, dia tidak pernah menggunakan rotan untuk menghukum jika anak-anaknya melakukan sesuatu kesalahan.
“Sebenarnya anak-anak takut dengan kami berdua terutama mereka takut dengan saya la. Kalau saya tak bagi sesuatu atau naik suara ‘aaa’, nanti mereka takut dan menangis.
“Tapi nak cakap mengenai parenting ini, masing-masing mempunyai cara tersendiri. Mungkin cara saya pun tak sama dengan ibu bapa lain. Selalunya, kalau saya marah, Hanis akan pujuk.
“Sama juga kalau Hanis marah, saya pula akan pujuk. Saya tak pernah rotan mereka tapi pernah la cubit atau saya tegur dengan pandangan, mereka akan diam,” katanya kepada mStar.
Sebelum ini, Hanis atau nama sebenar Hanis Zalikha Zainal Rashid memberitahu dia nampak saja lembut namun sebenarnya tegas dalam mendidik dua orang anaknya.
Menurut Hanis, dia mempunyai cara tersendiri dalam mengajar anak agar tidak mengulangi kesalahan.
Untuk rekod, Hanis mendirikan rumah tangga dengan pelakon filem Paskal itu pada Jun 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata. – Agensi