Haishen badai Korea S, cetus tanah runtuh di Jepun

SOKCHO, KOREA SELATAN, 7 SEPT – Taufan kuat membadai Korea Selatan hari ini selepas melanda selatan Jepun dengan membawa angin kencang dan hujan lebat sehingga menyebabkan kira-kira lapan orang maut atau hilang.

Lebih 300,000 isi rumah masih mengalami gangguan elektrik petang ini selepas Taufan Haishen bergejolak melintasi pulau Kyushu selatan Jepun, menerbangkan bumbung dan membawa turunan hujan sekitar setengah meter dalam sehari.

Pasukan penyelamat meredah lumpur dan serpihan batuan bagi mencari empat mangsa hilang selepas tanah runtuh berlaku di Miyazaki.

Puluhan pegawai polis dalam perjalanan mereka untuk memberi bantuan, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga kepada wartawan di Tokyo.

Seorang dikatakan telah terkorban akibat taufan, menurutnya, dengan punca tiga lagi kematian akibat ribut belum diketahui.

Kelihatan sebuah rumah runtuh selepas Taufan Haishen membadai Makurazaki, Wilayah Kagoshima, Jepun pada 7 September. – AFP

Haishen yang muncul bersama taufan kuat lain, membadai Okinawa pada Sabtu dan bergerak ke utara sepanjang Ahad.

Sekitar 1.8 juta orang dimaklumkan untuk mencari perlindungan kerana dikhuatiri angin kencang 200kmsj itu boleh mengakibatkan kemusnahan besar ke atas perumahan kayu Jepun.

Menjelang tengah hari ini, ribut itu sudah bergerak ke Korea Selatan, memaksa pembatalan ratusan penerba-ngan dan mencetuskan tanah runtuh.

Lalu lintas dan pokok-pokok tumbang di sekitar Busan, jalan-jalan dibanjiri dan tenaga elektrik bagi 20,000 buah rumah di seluruh negara itu terputus.

Haishen diramalkan membuat pendaratan semula di Chongjin, wilayah Utara Hamgyong di Korea Utara tengah malam ini, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea Selatan.

Di Jepun, Taufan Haishen muncul di pulau terpencil selatan sebelum bergerak ke rantau Kyushu.

Ketika ia menghampiri, pihak berkuasa Kyushu mengeluarkan arahan pengosongan kepada 1.8 juta orang, dengan 5.6 juta yang lain memberitahu untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut berita Sputnik, jumlah mangsa yang cedera di Jepun meningkat kepada 52 orang sejak hujung minggu. – AFP/Bernama