Haishen hentam Jepun

TOKYO, 6 SEPT – Taufan kedua paling kuat, Haishen melanda Jepun dalam masa seminggu, membawakan angin kencang dan hujan lebat ke pulau-pulau di selatan negara itu hari ini, yang juga menerbangkan atap-atap rumah dan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan yang terdedah banjir dan tanah runtuh.

Pegawai kaji cuaca menasihatkan pemindahan segera berjuta-juta orang kerana taufan itu cukup kuat untuk mengakibatkan bencana besar.

Beberapa sungai utama di pulau barat daya Kyushu berisiko dengan limpahan air yang berlebihan, menurut pegawai. Agensi penyiaran awam, NHK TV berkata amaran pemindahan telah dikeluarkan kepada lebih 50,000 penduduk di Okinawa dan Kyushu, termasuk wilayah Kagoshima dan Nagasaki.

Rakaman video menunjukkan orang ramai di Kyushu mula berkumpul di gimnasium, sebelum angin dijangka menjadi semakin kencang pada waktu malam. Penjarakan fizikal akan dilaksanakan untuk mengawal penularan pandemik koronavirus, menurut pegawai.

Agensi Meteorologi Jepun berkata Taufan Haishen, yang bermaksud ‘Tuhan laut’ dalam Mandarin, membawa angin kencang sehingga 162 kilometer sejam selepas melanda Okinawa dan pulau di bahagian selatan Kyushu, Amami Oshima awal hari ini. Amaran angin kencang, ombak bergelora, turunan hujan dan petir telah dikeluarkan di Amami Oshima dan nasihat pemindahan turut dikeluarkan.

Taufan Haishen bukan sahaja kuat – menyamai kategori kedua taufan – tetapi turut menjadi besar apabila melanda, menurut agensi kaji cuaca. Kereta api laju menghentikan perkhidmatan sementara dan puluhan penerbangan dibatalkan.

All Nippon Airways mengatakan pembatalan tersebut akan berterusan pada esok, dan kemungkinan pada Selasa, bagi penerbangan ke selatan Jepun seperti ke Yamaguchi, Kochi dan Fukuoka.

Laluan Haishen serupa dengan taufan Maysak yang melanda bahagian selatan Jepun minggu lalu, mencederakan puluhan penduduk dan menjejaskan bekalan tenaga ribuan rumah.

Jangkaan laluan Haishen akan melanda semenanjung Korea pada minggu ini. – AP

Pokok-pokok condong akibat angin kencang daripada Taufan Haishen di Miyazaki, barat daya Jepun, 6 September. Taufan kedua paling kuat menghentam Jepun minggu ini, mencetuskan angin kencang dan hujan lebat yang mungkin memaksa pemindahan jutaan orang. – AP