PARIS, 29 SEPT – Menteri alam sekitar Perancis telah mengumumkan pengharaman secara bertahap ke atas penggunaan haiwan liar dalam sarkas, dolfin dan ikan paus yang dikurung dalam taman marin dan penternakan mink di ladang.
Barbara Pompili, menteri ekologi Perancis, berkata pada sidang media hari ini bahawa beruang, harimau, singa, gajah dan haiwan liar lain tidak dibenarkan lagi dalam sarkas ‘pada tahun-tahun akan datang.’
Selain itu, berkuat kuasa sekarang, tiga taman marin di Perancis tidak boleh membawa masuk atau membiak dolfin dan ikan paus, kata beliau.
“Sudah tiba masanya untuk membuka era baharu dalam hubungan kami dengan haiwan berkenaan,” kata beliau, menambah kebajikan haiwan tersebut sentiasa menjadi satu keutamaan. Pompili berkata langkah itu juga akan menamatkan penternakan mink, di mana haiwan itu diternak untuk bulu mereka, dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengharaman tidak termasuk haiwan liar di pertunjukan tetap lain dan di zoo.
Pompili belum menetapkan tarikh pengharaman, berkata proses itu harus bermula ‘secepat mungkin.’ Beliau berjanji penyelesaian akan dicapai untuk setiap haiwan yang terbabit. – AP
