Haiwan liar rosak tanaman

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 17 JULAI – Penduduk di sekitar Kampung Merangking terutamanya para petani, menyuarakan kebimbangan mereka susulan kehadiran haiwan-haiwan liar yang memusnahkan tanaman ketika musim menuai hampir tiba.

Seorang petani yang mengusahakan penanaman buah-buahan dan sayuran di kawasan tersebut mengatakan tanaman mereka yang terjejas termasuk nanas, rambutan dan banyak lagi yang habis dirosakkan oleh haiwan liar termasuk monyet, khinzir hutan, tupai, biawak benggala dan lainnya.

Para petani juga mengatakan haiwan-haiwan liar tersebut aktif ketika waktu pemantauan sukar dijalankan seperti tengah malam atau semasa hujan.

Meskipun begitu, para petani dari kawasan sekitarnya telah mengambil langkah pengawalan dan pencegahan dengan memasang pagar dan menggunakan perangkap bagi melihat pelbagai kejayaan hasilnya.

Dengan kaedah tersebut, para petani di kawasan itu berharap haiwan-haiwan liar tidak lagi akan dapat menceroboh ke kawasan tanaman dan penduduk sekitarnya akan dapat menikmati hasil tanaman mereka.

Tanaman nanas yang sudah diragut buahnya oleh haiwan liar di kawasan Kampung Merangking.
Pokok rambutan turut menjadi mangsa haiwan liar di sebuah kawasan pertanian di Merangking.