Haiwan peliharaan pelik peneman setia semasa pandemik

Jutaan orang telah menemui ketenangan jiwa semasa pandemik dengan memeluk kucing ataupun anjing. Bagi sesetengah orang, keselesaan datang dalam bentuk lain – dalam haiwan peliharaan kuda atau ‘sugar glider’ yang kelihatan seperti oposum atau labah-labah tarantula.

Kes yang luar biasa adalah Lorena Alvarez, di mana apartmen tempat tinggalnya di Buenos Aires juga menjadi tempat tinggal kepada 28 ekor marsupial bersaiz kocek yang lebih lazim dikenali sebagai ‘sugar glider’.

“Haiwan berkenaan memberikan kasih sayang kepada saya,” katanya. “Tahukah kamu apa rasanya apabila kamu berbaring dan haiwan peliharaan berkenaan mencium kamu?”

Alvarez, yang mengajar statistik di sebuah universiti – secara dalam talian sekarang – tinggal sendirian, namun berkata haiwan peliharaan telah membantunya rasa seolah-olah dia mempunyai teman – ada kalanya muncul di atas kepalanya semasa panggilan Zoom.

“Saya bangun dan saya hidup untuk mereka. Haiwan berkenaan adalah peneman suka duka kehidupan saya,” katanya mengenai haiwan peliharaan yang berlari melompat-lompat kepadanya untuk dimanjakan, ataupun melompat dan meluncur turun ke lantai.

Kesemua 28 ekor adalah hasil daripada dua ekor yang diambilnya beberapa tahun lalu selepas mendapat permit untuk haiwan eksotik.

Solana Pesca bersama salah seekor haiwan peliharaan tikus, Reggae di rumahnya. – AP
Tulio memeluk kucing di rumahnya di Buenos Aires, Argentina. Tulio mengambil dua kucing untuk dijadikan teman semasa sekatan COVID-19. – AP
Osvaldo Negri memegang labah-labah tarantula di Lanus, Argentina.– AP

Lorena Alvarez memegang salah seekor daripada 28 ‘sugar glider’ di rumahnya di Buenos Aires. – AP

Pembiakan pesat berkenaan merupakan salah satu sebab mengapa banyak kumpulan hak haiwan membantah menyimpan glider sebagai haiwan peliharaan, dan mengapa sesetengah peniaga hanya menjual haiwan jantan yang sudah dikembirikan.

Pewaham berkata haiwan tersebut sering ditinggalkan oleh tuan yang kurang berdedikasi berbanding Alvarez, yang mana dia sendiri menawarkan nasihat kepada bakal tuan punya – atau menderita di tangan orang yang tidak bersedia untuk berdepan tingkah laku haiwan, diet khas dan keperluan haiwan yang tinggal di atas pokok pada waktu malam yang boleh meluncur 50 ela apabila bebas. Sesetengah tempat, termasuk California dan New York, mengharamkannya sebagai haiwan peliharaan.

Doktor haiwan Argentina Adrian Petta, yang pakar dalam haiwan peliharaan unik, berkata dia melihat ratusan haiwan dalam tempoh pandemik 18 bulan lalu – arnab, burung, khinzir, tikus rodensia, cicak dan lain-lain lagi.

“Ramai orang rasa kesunyian dan telah mencari haiwan peliharaan, atau mereka bosan menonton televisyen dan komputer dan memerlukan hubungan yang lebih efektif,” katanya. Malah mereka yang tidak menunjukkan perasaan, ‘orang boleh memberinya makan dan rasa seolah-olah dihargai seseorang atau sesuatu memerlukan haiwan berkenaan.’

Demikianlah kesnya dengan Osvaldo Negri, seorang jururawat berusia 50 tahun.

Negri berkata dia mula membela labah-labah untuk mengatasi rasa gerun terhadap araknid, dan kini dia mempunyai 60 ekor. Dia berkata menjaga labah-labah membantunya menghadapi dan mengatasi bebanan kerja di hospital di tengah pandemik COVID-19, ‘melepaskan tekanan’ ketika dia melihat dan ada kalanya menyentuh labah-labah berkenaan, memberikannya makan lipas.

“Saya menumpu kepada usaha untuk berjalan perlahan-lahan kerana jika labah-labah berasa takut, mereka mungkin jatuh dan mati,” ujarnya, sambil menunjukkan seekor labah-labah tarantula Mexico yang berwarna-warni dan berbisa di tapak tangannya.

Sama seperti ‘sugar glider’, pilihan haiwan peliharaan boleh bersifat kontroversi. Tarantula Brachypelma smithi yang dipamerkannya adalah disenaraikan sebagai ‘spesies hampir terancam’ oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula jadi tetapi perniagaan dalam serangga araknid yang sama telah mendorong 21 spesies lain dimasukkan dalam senarai spesies terancam.

Bagi Solana Pesca, temannya adalah bersama arnab bermata merah Regue dan Brama, yang mencakar kurungan apabila ia melihatnya memasuki pintu apartmen kecilnya di Buenos Aires.

“Ia memahami perasaan awda, mereka akan mencari awda,” kata Solis, yang bekerja di makmal haiwan.

Selatan Buenos Aires, di bandar Tandil, Alberto Castro, berusia 77 tahun telah meluangkan kebanyakan masanya di Hogar San Jose, tempat tinggal untuk warga emas, duduk di kerusi.

Keadaan tersebut berubah pada Mac tahun lalu, ketika pandemik mulai meletus, apabila operator rumah jagaan, Alejandro Moreno Hueyo, membawa masuk seekor kuda bernama Coco.

Castro menjaga kuda itu, yang tiba dalam keadaan teruk. “Ia mengubah hidup saya. Saya menjaganya, ia bercakap kepada saya dan apabila saya mendekatinya, ia meringkik. Asalkan saya berada di sana, tidak ada apa-apa yang akan berlaku padanya,” katanya. – AP