Haiza kena serangan panik

Penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi, 41, mendedahkan berat badannya menyusut akibat satu benjolan pada bahagian kiri payudara bersaiz dua sentimeter pada Jun lalu.

Malah, kebimbangan calon awal kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu menimbulkan serangan panik buat kali kedua dalam dirinya.

“Saya mula fikir bukan-bukan apabila mendapat tahu mengenai benjolan ini. Dalam situasi pandemik, penyakit serangan panik datang secara tiba-tiba.

“Berat badan turun mendadak, selain tiada selera makan. Saya hanya banyak minum air kosong, air manis langsung tidak sentuh.

“Dalam masa sama, saya risau memikirkan nasib diri sama ada kontrak penyampai radio disambung atau sebaliknya,” katanya kepada media.

Haiza mendedahkan berat badannya menyusut akibat satu benjolan pada bahagian kiri payudara bersaiz dua sentimeter pada Jun lalu. – Agensi

Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin berkongsi, dia mengalami serangan panik kali pertama pada 2016.

“Saya tidak tahu apa puncanya. Namun, ada kemungkinan saya penat dan terbeban apabila berulang alik dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru apabila bertugas sebagai penyampai radio, selain komitmen program realiti, Gegar Vaganza musim kedua,” katanya.

Bagaimanapun, isteri kepada Norhanaphe Omar itu memaklumkan, keadaannya sudah kembali sihat, malah benjolan juga sudah lenyap.

“Saya melakukan rawatan di sebuah hospital swasta dengan membuat ujian mamogram dan ultrasound. Doktor juga sudah menerangkan bagaimana benjolan boleh berlaku dan proses rawatan.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, saya tidak memerlukan rawatan susulan, malah doktor memaklumkan benjolan yang wujud akan hilang dengan sendiri.

“Saya bersyukur akhirnya benjolan sudah tiada. Dalam situasi begini, sokongan suami, ibu bapa, adik beradik dan keluarga menjadi kekuatan. Doa mereka sangat bermakna saat saya diuji,” katanya.

Justeru, Haiza berkata, pengalaman sakit dilalui menjadi asbab dan kekuatannya mengendalikan segmen Santai Siang Bersama Haiza di radio yang mengupas isu kesihatan.

Selain kesihatan, segmen yang diselangi dengan hiburan itu juga merangkumi informasi berkaitan gaya hidup, ibu bapa tips ekonomi, pemerkasaan dan kerohanian.

“Dalam apa juga situasi, kesedaran sangat penting. Jangan membiarkan sakit berlanjutan, baru mahu bertindak.

“Wanita digalakkan bertemu doktor jika ada kemusykilan. Dan paling penting, jangan buat andaian, ia akan mendorong kita berfikir bukan-bukan.

“Setiap Oktober kita meraikan program kesedaran kanser payudara atau Pink October. Mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Dag Dig Dug itu berkata, soal kesihatan jangan ambil mudah dalam usia yang semakin meningkat.

“Soal kesihatan jangan ambil mudah. Jaga makan dan amalkan gaya hidup sihat.

“Berat badan mula naik apabila hati tenang dan kembali berselera. Mulalah nak balas dendam makan apa sahaja.” katanya. Namun, saya tetap seimbangkan pemakanan termasuk fokus kerja,” tambahnya.

Mengulas pencalonan awal menerusi ABPBH 34, penyanyi kelahiran Benut, Pontian itu akur, kategori Penyampai Radio Popular sukar dibolosi. – Agensi