Haji bermula rabu ini

MEKAH, 27 JULAI – Musim haji yang kali pertama menyaksikan jumlah jemaah dihadkan secara drastik akan bermula Rabu ini.

AFP melaporkan hampir 10,000 individu yang menetap di negara itu akan menyertai ibadah itu pada tahun ini. Ia berbanding 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia pada tahun lalu.

Tahun ini juga, wakil media antarabangsa tidak dibenarkan membuat liputan. Awalnya, pihak berkuasa melaporkan hanya 1,000 jemaah yang berada di negara itu dibenarkan untuk melaksanakan haji.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan bilangan jemaah akan membabitkan 10,000 orang.

Bagi jemaah tempatan, ia akan membabitkan petugas kesihatan dan anggota keselamatan yang sembuh daripada COVID-19.

Dalam pada itu, pihak berkuasa mengetatkan akses ke sini dan protokol kesihatan untuk mengekang penularan virus berkenaan. Jemaah perlu menjalani ujian saringan sebelum tiba di sini dan menjalani kuarantin sebaik menunaikan ibadah berkenaan.

Mereka akan diberi kit khas mengandungi batu yang sudah dinyahkuman untuk ibadah jamrah, penutup mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman, sejadah dan kain ihram. Jemaah juga perlu menjalani pemeriksaan suhu dan dinasihatkan untuk mematuhi penjarakan sosial.

Selain itu, pihak berkuasa sudah membuka kemudahan kesihatan termasuk klinik bergerak dan menyediakan ambulans. Setakat ini, Arab Saudi sudah merekodkan lebih 260,000 kes jangkitan. Di peringkat global, kes COVID-19 sudah melepasi 16 juta pada Sabtu. – AFP

Gambar diambil pada 26 Julai 2020 menunjukkan tempat di mana jemaah haji melontar batu di Mina di Mekah sebelum musim ibadat haji tahunan. – AFP