Hajiji dilantik Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU, 28 SEPT – Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini bersetuju, melantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

“Saya ucap tahniah kepada Datuk Hajiji dan saya persetujui sebagai Ketua Menteri yang baharu, untuk mengangkat sumpah pada esok hari,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan surat jemputan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-16 kepada Hajiji, di Istana Negeri di sini.

Sejurus selesai penyampaian surat jemputan itu, Hajiji turut menghadiri raptai Istiadat Angkat Sumpah yang dijadualkan berlangsung di Dewan Istiadat Istana Negeri, pada pukul 10 pagi, esok.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara menamakan Hajiji, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor (depan, dua kanan) bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (depan, dua kiri), Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan (depan, kanan) dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim (kiri) selepas mengadakan sidang media bersama di sebuah hotel hari ini. – Bernama

Pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen, Hajiji memaklumkan, “Kami GRS, terdiri daripada PN (Perikatan Nasional), BN (Barisan Nasional) dan PBS (Parti Bersatu Sabah) telahpun bersetuju bersama untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Kami telah bersetuju sebulat suara bahawa mereka telah menamakan saya sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim serta barisan wakil rakyat daripada GRS.

Hajiji turut menzahirkan ikrar bahawa wakil rakyat GRS akan menunaikan janji serta menjalankan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah dengan sebaiknya.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Sabah kerana memilih pemimpin daripada GRS,” tambah Hajiji yang Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

GRS memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 apabila memperoleh 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN negeri ini.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas penerimaan surat itu jemputan bagi mengangkat sumpah, Hajiji berkata beliau akan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin, bagi memenuhi mandat yang diterima daripada rakyat Sabah.

“Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun (Juhar) kerana beliau telah menjemput saya untuk menerima surat pelantikan sebagai Ketua Menteri Negeri Sabah…esok saya telah dimaklumkan saya (angkat sumpah) dan timbalan-timbalan ketua menteri dahulu,” katanya. – Bernama