Hajiji: Kibarkan Jalur Gemilang, bendera negeri dengan semangat patriotik

KOTA KINABALU, 16 OGOS – Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor menggesa rakyat Malaysia di seluruh Sabah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri dengan perasaan bangga dan penuh semangat patriotik sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

Beliau berkata Bulan Kebangsaan patut menjadi satu platform bersama bagi semua warga Malaysia mendapatkan kekuatan untuk menyumbang kepada kemajuan negara dan Sabah.

“Mari kita ketepikan semua perbezaan dan bersatu untuk mengatasi segala cabaran dihadapi negara terutamanya dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di pusat pentadbiran negeri di sini hari ini. 

Hajiji menyampaikan bendera-bendera kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Tan Sri T C Goh mewakili dewan perniagaan dan industri, wakil badan bukan kerajaan Dr Rahimatsah Amat dan Renjer Kanan Taman Kinabalu Engelbert Panil. 

Bagi memperingati sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun ini, Jalur Gemilang dan bendera negeri akan dinaikkan di puncak Gunung Kinabalu oleh renjer-renjer taman diketuai Engelbert.

Lebih daripada 20,000 bendera kebangsaan dan negeri diagihkan kepada orang awam dan sektor swasta bersempena sambutan Bulan Kebangsaan. – Bernama

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor (tengah) bersama beberapa menteri dan sebahagian pegawai kerajaan negeri mengibarkan Jalur Gemilang selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Negeri Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Bernama