Hajiji: K’jaan Sabah pantau JENDELA

KOTA KINABALU, 2 DIS – Kerajaan Sabah akan memantau pelaksanaan projek di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan projek yang bertujuan memperluas liputan 4G dan meningkatkan kelajuan Internet di Sabah, berjalan lancar, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Katanya, pada masa ini liputan telekomunikasi di Sabah masih jauh ketinggalan dengan banyak tempat tidak mempunyai liputan Internet.

“Sesetengah kawasan (di Pitas) penduduk terpaksa memanjat pokok untuk dapatkan capaian Internet, dan ada juga kes di Kampung Gusi di mana beberapa pelajar cedera selepas jambatan gantung tempat mereka berkumpul untuk dapatkan liputan Internet, terputus.

“Justeru, JENDELA merupakan satu inisiatif yang sangat bagus oleh kerajaan persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana Sabah amat memerlukan kesalinghubungan yang lebih baik,” katanya. – Bernama