Hajiji: Sabah siap siaga hadapi banjir menjelang musim tengkujuh

PENAMPANG, 5 NOV – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa kesiapsiagaan menghadapi bencana ditingkatkan di seluruh negeri menjelang kedatangan musim Monsun Timur Laut, bulan ini.

Beliau berkata semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri telah diarahkan bersiap siaga dan menyediakan logistik termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah.

“Kerajaan negeri juga bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terutama dalam menyalurkan bantuan kewangan dan peruntukan pada waktu bencana musim tengkujuh ini.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia, yang menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran” katanya di Pusat Kebudayaan Sabah di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000 kepada 200 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir pada September lalu. – Bernama