Oleh Normazlina M.D & Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Bagi melaksanakan Akta Orang-orang Kurang Upaya (OKU) selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), beberapa dasar telah digubal oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi melindungi hak dan maruah mereka.
Dasar yang ada pada masa ini termasuk memberikan kesaksamaan hak dan peluang yang sama kepada OKU atau orang berkeperluan khas (OBK) untuk menjalani kehidupan dan penyertaan penuh dalam masyarakat.
Kedua adalah memberikan pengiktirafan serta penerimaan prinsip bahawa OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat, dan ketiga, memastikan OKU menikmati hak peluang akses yang saksama dalam kalangan masyarakat, menghapuskan diskriminasi terhadap seseorang atas sebab ketidakupayaannya dan mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menjelaskan, dasar berkenaan akan menyokong dan melengkapi matlamat dasar-dasar lain yang sedia ada untuk mengangkat martabat golongan-golongan OKU supaya turut sama terlibat dalam menyumbang kepada pembangunan Negara.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara tersebut semasa mengulas persoalan mengenai pelaksanaan Akta OKU dan OBK yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pagi tadi.


Sebagaimana yang telah disentuh oleh Yang Berhormat Pehin dalam mukadimahnya sebelum itu, Brunei Darussalam telah menandatangani hak CRPD pada 18 Disember 2007 dan telah mengaplikasikannya pada 11 April tahun lalu sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memperkasa dan melindungi hak kurang upaya, mengiktiraf bahawa golongan OKU mempunyai hak serupa dengan manusia biasa dan memastikan golongan-golongan OKU ini mendapat akses terhadap hak-hak tersebut.
CRPD berkenaan antara lain bertujuan untuk memelihara hak-hak orang kurang upaya bagi menjalankan kehidupan yang normal sama dengan hak orang-orang lain.
Dengan meratifikasi CRPD tersebut, ia akan dapat digunakan sebagai asas untuk memastikan apa jua perkhidmatan yang disediakan untuk mereka yang kurang upaya adalah selaras dengan standard atau kehendak antarabangsa khususnya dari segi hak asasi mereka.