Hakim persekutuan, isteri ditembak mati

BANDAR MEXICO, 17 JUN – Seorang hakim persekutuan Mexico ditembak mati semalam bersama isterinya selepas lelaki bersenjata memecah masuk ke rumah mereka di negeri Colima, umum Mahkamah Agung.

Hakim Uriel Villegas berada di rumah bersama keluarganya apabila lelaki bersenjata memecah masuk dan melepaskan tembakan sebelum tengah hari.

Dua anak pasangan itu dan seorang pembantu rumah selamat dalam serangan itu. Presiden Mahkamah Agung Arturo Zaldivar meminta perlindungan yang lebih diberikan kepada hakim persekutuan. Villegas telah membicarakan beberapa kes jenayah terancang.

“Kami meminta pihak berkuasa memberikan soko-ngan mereka untuk menjamin keselamatan hakim persekutuan dan keluarga mereka,’ dan kes tersebut disiasat, kata Zaldivar. Pejabat Peguam Negara Mexico menulis di Twitter ia akan memimpin siasatan dalam pembunuhan itu. Villegas dilantik hakim mahkamah jenayah persekutuan di ibu negeri Colima pada Februari. – AFP