Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Lima peserta dalam Kategori ‘A’ yang menyertai Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1438 Hijrah telah mengakhiri pertandingan hafazan dan menguji pemahaman masing-masing pada hari kedua, hari ini, yang disertai oleh seramai 24 peserta.
Sehubungan itu, hadir pada Majlis Penyampaian Sijil kepada Peserta dan Hakim pertandingan musabaqah yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit yang seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta dan hakim.
Keputusan pertandingan musabaqah berkenaan akan diumumkan pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1438 Hijrah yang diadakan pada bulan Ramadan nanti.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan memperdengarkan hafazan bagi peserta Kategori ‘A’ yang menampilkan lima peserta perempuan yang terdiri daripada kanak-kanak berumur 11 tahun ke bawah yang lahir pada 1 Jun 2005 dan selepasnya.
Para peserta telah menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Al-Buruj, Surah At-Tariq, Surah Al-A’la, Surah Al-Lail, kompilasi surah-surah lazim bermula dari Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas berserta Pemahaman Surah Al-Gasyiyah, Surah Al-Fajr, Surah Adh-Dhuha dan Surah Al-Qadar.

Majlis kemudian diserikan dengan persembahan tausyeh gabungan daripada penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dengan pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1438 Hijrah dikendalikan bersama oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), ABDB, Kementerian Pertahanan, ITQSHHB dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam, KHEU.
Antara lain tujuan musabaqah ini adalah untuk menggalakkan umat Islam di negara ini supaya berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan terutama kanak-kanak, murid-murid dan remaja.
Di samping itu, bagi membolehkan mereka membaca dan memahami Al-Quran dengan sempurna tanpa perlu melihat kitab suci Al-Quran seterusnya menjadikan budaya membaca Al-Quran sebagai satu kebiasaan dan amalan hidup seharian.
Usaha ini diharap dapat menambahkan lagi golongan penghafaz-penghafaz Al-Quran di Negara Zikir ini sekali gus mendapat keredhaan dan ganjaran pahala dari Allah Subhanahu Wata’ala.