Hakim putuskan larangan Trump muat turun TikTok

WASHINGTON, 27 SEPT – Hakim akan memutuskan pada hari ini sama ada membenarkan larangan pentadbiran Trump untuk memuat turun aplikasi perkongsian video popular TikTok.

Hakim Daerah AS, Carl Nichols juga berjanji akan mempertimbangkan permintaan TikTok untuk menyekat perintah presiden sebelum dikuatkuasakan pada jam 11:59 malam ini.

Hakim di ibu negara AS itu meneliti dakwaan pentadbiran Trump bahawa TikTok yang dimiliki China menimbulkan ancaman keselamatan terhadap negara, seiring dengan penafian syarikat itu dan dakwaannya bahawa walaupun ia larangan sementara tetapi dapat menimbulkan kesan teruk sehingga tidak dapat diperbaiki.

Jabatan Kehakiman AS dan peguam TikTok bersetuju untuk memfailkan penjelasan ‘di bawah rahsia’, tidak tersedia untuk tatapan umum, bagi mengelak mendedahkan keselamatan negara dan maklumat perniagaan sulit.

TikTok, yang dimiliki syarikat ByteDance dari China, mengatakan dalam petisyen awalnya bahawa larangan sementara akan ‘menimbulkan kesan yang teruk dan tidak dapat diperbaiki’ terhadap perkhidmatan itu.

Sehingga adanya campur tangan pentadbiran, TikTok adalah antara aplikasi berkembang paling pesat di AS dan pertumbuhan yang berterusan diperlukan untuk mengekalkan kedudukan pasarannya yang kompetitif, menurut TikTok. – AFP

Gambar ilustrasi menunjukkan logo TikTok dipamerkan di skrin iPhone dan bendera AS sebagai latar belakang di Arrlington, Virginia. Hakim akan memutuskan sama ada membenarkan larangan pentadbiran Trump untuk memuat turun aplikasi perkongsian video popular TikTok kelmarin. – AFP