Halal street UK sasar 500 PKS

KUALA LUMPUR, 19 OGOS – Halal Street UK, e-pasaran halal pertama di United Kingdom (UK), menyasarkan mendapatkan 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan negara ini menyertai platformnya bagi mempromosikan dan mengeksport produk mereka di UK.

Pengasasnya Simon Suresh berkata ini merupakan kali pertama e-pasaran menjelajah ke luar UK kerana produk-produk dengan pensijilan halal Malaysia mempunyai permintaan yang tinggi.

“Di Malaysia, kita bersyukur mempunyai tahap pensijilan halal tertinggi dan dapat menikmati makanan halal berkualiti tinggi tanpa mengira sama ada Muslim atau bukan Muslim.

“Namun ada kalanya, kita mengambil mudah apabila berada di UK, anda akan dapati agak sukar untuk membeli makanan halal seperti gula-gula ataupun vitamin.

“Oleh itu, saya berpendapat telah tiba masanya PKS Malaysia meneroka UK menerusi e-pasaran ini jadi pengguna juga boleh menikmati kualiti produk halal yang sama,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini. Simon berkata Halal Street UK bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menerusi program eTRADE bagi membantu lebih banyak PKS Malaysia meneroka ke pasaran UK dan pasaran sekitarnya.

Halal Street UK menyasarkan 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menyertai platformnya bagi mempromosikan dan mengeksport produk mereka di UK. – Agensia

“Kerjasama bersama Matrade akan membolehkan PKS layak menerima bantuan eTRADE seperti kemudahan kewangan apabila mereka mengambil bahagian dalam Halal Street UK.

“PKS yang berkelayakan akan mudah mempunyai akses kepada lebih 44 juta pendudukan Muslim di pasaran Eropah, dan lebih 15,000 pelanggan sedia ada di platform itu.

Di UK sahaja, pasaran makanan halal bernilai 770 juta pound British,” kata Simon yang juga merupakan seorang peguam yang menetap di UK.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Sharimahton Mat Saleh berkata pasaran eTRADE kini berjumlah 20 dengan penyertaan di Halal Street UK.

Menurutnya, prospek produk halal seperti makanan dan minuman, produk kecantikan, makanaan tambahan kesihatan, hijab dan barangan anak damit adalah sangat besar disebabkan populasi penduduk Islam yang tinggi dan dan semakin berkembang di sana.

“Dengan meningkatkan kumpulan pengeksport, kita akan dapat meningkatkan sumbangan eksport PKS kepada 25 peratus menjelang 2015 daripada 17.5 peratus yang dicapai pada 2018 – seperti yang ditetapkan di bawah Dasar Keusahawanan Kebangsaan 2030. – Bernama