Halep sertai kejohanan WTA Prague

PARIS, 23 JULAI – Pemain nombor dua dunia, Simona Halep (gambar bawah) kelmarin mengatakan bahawa dia akan kembali beraksi dalam kejohanan gelanggang tanah liat WTA Prague pada bulan Ogos ini, menimbul persoalan terhadap penyertaannya di kejohanan Terbuka AS.

“Hai semua. Saya tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam kejohanan di kota Prague yang luar biasa ini. Sampai jumpa pada bulan Ogos,” kata juara Wimbledon itu dalam sebuah pesanan video yang disiarkan oleh penganjur acara.

Kejohanan Prague berlangsung pada 10 hingga 16 Ogos.

Halep juga akan beraksi di acara gelanggang tanah liat Palermo yang akan bermula pada 3 Ogos dalam pertandingan WTA pertama sejak tenis profesional ditangguhkan pada pertengahan Mac lalu akibat COVID-19.

Halep telah memberitahu bahawa dia hanya akan fokus pada acara Eropah tahun ini, berhati-hati dengan krisis kesihatan di Amerika Syarikat yang telah meninggalkan tanda tanya mengenai Terbuka AS di New York dari 31 Ogos.

Komitmen Halep untuk kejohanan gelanggang tanah liat telah menunjukkan bahawa dia akan fokus pada Terbuka Perancis yang dijadualkan semula yang akan berlangsung di Paris pada 27 September.

Pemain yang berasal Romania itu telah memenangi gelaran Grand Slam pertamanya di Roland Garros pada tahun 2018. – AFP