Halep tarik diri kejohanan WTA Palermo

MILAN, 27 JULAI – Pemain nombor dua dunia, Simona Halep mengumumkan kelmarin bahawa dia tidak akan bertanding dalam acara WTA Palermo, yang akan menandakan kejohanan tenis kembali semula musim ini setelah penangguhannya akibat COVID-19 selama lima bulan.

“Memandangkan peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini di Romania dan kegelisahan saya mengenai perjalanan udara antarabangsa ketika ini, saya telah membuat keputusan sukar untuk menarik diri daripada kejohanan di Palermo,” kata juara Wimbledon, Halep di Twitter.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengarah kejohanan dan kementerian kesihatan Itali atas semua usaha mereka bagi pihak saya.”

Penganjur telah meminta pengecualian untuk bekas pemain nombor satu dunia berusia 28 tahun itu, yang juga pemenang Terbuka Perancis pada tahun 2018, untuk bertanding setelah pihak berkuasa Itali pada Jumaat mengenakan kuarantin selama 14 hari semasa masuk ke Itali untuk semua mereka yang telah tiba dari Romania dan Bulgaria pada dua minggu sebelumnya.

“Kami mendapat kesukaran dengan keputusan pemain nombor dua dunia untuk membatalkan penyertaannya,” kata pengarah kejohanan, Oliviero Palma. –AFP

Gambar fail pada 30 Mei lalu, ketika perlawanan Simona Halep menentang Alison Riske dari AS di kejohanan pusingan pertama Terbuka Perancis di Stadium Roland Garros, Paris. – AP