Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Halimah Yacob tidak bertanding semula jawatan presiden

    SINGAPURA, 29 MEI – Presiden Singapura Halimah Yacob memutuskan untuk tidak bertanding semula pada Pilihan Raya Presiden yang dijadual diadakan dalam masa beberapa bulan lagi.

    Ketika mengumumkan perkara itu di laman Facebook rasminya hari ini, Halimah berkata keputusan berkenaan dibuat ‘selepas pertimbangan yang sangat teliti.’

    “Ia satu keistimewaan dan penghormatan yang besar untuk berkhidmat sebagai presiden kelapan Singapura sejak enam tahun lalu…,” katanya.

    Halimah, 68, adalah presiden wanita pertama dalam sejarah Singapura.

    “Saya sedar tanggungjawab besar sebagai presiden semasa memegang jawatan pada 2017 dan saya telah mencuba yang terbaik untuk melunaskannya. Matlamat saya adalah untuk membantu mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang,” tulisnya.

    Gambar fail Presiden Singapura, Halimah Yacob pada satu acara kebangsaan. Beliau mengumumkan tidak akan bertanding semula bagi jawatan presiden. – ANN/The Straits Times

    Beliau turut berterima kasih kepada semua rakyat Singapura atas kepercayaan, timbang rasa dan kebaikan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

    Tidak ketinggalan ucapan terima kasih juga diucapkan kepada organisasi masyarakat, sosial dan perniagaan yang telah mencetuskan inspirasi menerusi keyakinan dan semangat yang ditunjukkan untuk membina Singapura yang lebih baik, katanya.

    Halimah berkata beliau amat bertuah kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada semua rakyat jelata tanpa mengira kaum, bahasa atau kedudukan sosial sebagai Presiden Singapura.

    “Saya akan sentiasa menghargai kenangan indah dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh saya berkhidmat. Ini akan memberi inspirasi kepada saya untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara dengan cara yang lain selagi termampu,” kata Halimah.

    Tempoh khidmat beliau dilaporkan akan tamat pada 13 September ini.

    Beliau berada di Malaysia pada Mac lalu untuk lawatan negara selama tiga hari. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...