Hall yakin buru kejuaraan

EVIAN, Perancis, 12 Sept – Georgia Hall berkata dia berasa lebih yakin sebelum menyertai Kejohanan Evian minggu ini selepas memenangi gelaran utama Terbuka Britain, bulan lalu.

Pemain Inggeris itu mencipta penamat 10 teratas yang mengagumkan pada kemunculannya dalam perlawanan akhir tahun di Perancis 12 bulan yang lalu dan menjadi salah seorang pilihan utama.

Bintang berusia 22 tahun itu menjadi terkenal setelah menewaskan Pornanong Phatlum dari Thailand menerusi dua pukulan di Royal Lytham & St Annes dan berharap untuk menempa lebih banyak kejayaan utama.

“Ia sangat hebat untuk berada di sini sebagai juara utama. Ia memberi saya sedikit keyakinan,” kata Hall.

“Sekiranya saya biasa dengan kedudukan itu, saya fikir saya tidak akan cemas, yang mana ia bagus untuk diketahui. Ini hanyalah tahun kedua saya dan saya menyukainya dan mahu memberikan yang terbaik.

“Saya semakin sibuk sejak menang di Lytham. Terlalu banyak temu bual dan perhatian tetapi saya juga gembira berada di rumah dan dapat meraikannya bersama keluarga saya.

“Ia sangat penting untuk saya beraksi dengan baik minggu ini. Saya baru saja bercuti selama lima hari dan saya berasa sangat segar sekali.”

Hall menyusuli kemenangan Terbuka Inggeris dengan hampir memenangi gelaran pertamanya di Amerika Syarikat, yang menyaksikannya berada di tangga kedua dalam siri Jelajah Portland Classic dan kini berada di tangga kelapan dalam ranking dunia. – AFP