Pelakon Amerika, Halle Bailey mengumumkan perpisahan dengan teman lelakinya yang juga penyanyi rap DDG selepas setahun mereka menimang cahaya mata sulung.
Perkara itu dikongsi sendiri oleh DDG yang menyifatkan keputusan berpisah adalah tepat dan terbaik buat mereka berdua.
Bagaimanapun dia dan bintang filem The Little Mermaid itu kekal bersahabat baik demi anak mereka.
“Selepas berfikir panjang, Halle dan saya memilih untuk berpisah dan teruskan kehidupan mengikut haluan masing-masing.
“Keputusan dibuat bukan mudah tapi saya rasa itulah yang terbaik. Walaupun tidak lagi bersama, kami akan tetap terus berkawan baik,” katanya.
Memetik laporan mStar, DDG berkongsi perkara itu kepada peminat menerusi hantaran di Instagram.
Walaupun sudah tidak lagi bersama, DDG dan Halle tetap fokus membesarkan anak mereka dengan penuh kasih sayang.
Untuk rekod, Halle dan DDG mula berkenalan pada awal tahun 2022 sebelum hubungan mereka bertukar serius pada Ogos tahun sama.
Selepas setahun menjalinkan hubungan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki diberi nama Halo pada 2023. – Agensi