Hamada mahu Fayyadh berusaha lebih keras

KUALA LUMPUR, 12 NOV – Penyerang muda Malaysia, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang masih bergelut untuk mendapat tempat dalam pasukan utama Fagiano Okayama sejak bergelar sebagai pemain antarabangsa di kelab Divisyen Dua Liga Jepun (J2), pada Disember 2018 dinasihati supaya berusaha lebih keras dan jangan menunggu lama.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada yang juga merupakan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui bahawa bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II itu mempunyai fizikal yang baik sebagai pemain bola sepak, tetapi pemain itu mesti meningkatkan kemahirannya terutamanya dalam menggelecek untuk berpeluang bermain dalam kesebelasan pemain pertama.

“Keadaan ini (kekurangan masa bermain) tidak hanya berlaku kepada Hadi Fayyadh tetapi juga pemain lain dalam Liga Jepun oleh itu, dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat di skuad utama.

“Saya fikir Hadi Fayyadh perlu memperbaiki kedudukannya, selain terus mengejar bola daripada menunggu bola datang kepadanya, kerana gaya bermain Jepun berubah dengan pantas dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bernama difahamkan penampilan Hadi Fayyadh untuk kelab itu hanya dalam Liga -J Ikusei,

sebuah pertandingan pembangunan bagi pemain profesional yang tidak dapat sentiasa bermain bagi kelab masing-masing. – Bernama

Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (kanan) giat menjalani latihan pada sesi latihan di Wisma FAM baru-baru ini. – Bernama