‘Hamba’ budak mati kehausan, pasangan IS dipenjara 10 tahun

MUNICH, JERMAN, 25 OKT – Sebuah mahkamah Munich hari ini menjatuhkan seorang wanita Jerman yang menyertai Kumpulan Islamic State (IS) hukuman penjara 10 tahun berhubung jenayah perang kerana membiarkan ‘hamba’ perempuan Yazidi berusia lima tahun mati kehausan di bawah terik matahari.

Tribunal menjatuhkan hukuman itu ke atas Jennifer Wenisch, 30, dalam salah satu sabitan pertama di mana-mana di dunia berkaitan pendakwaan jihad IS dari komuniti Yazidi.

Wenisch didapati bersalah melakukan ‘dua jenayah ke atas kemanusiaan dalam bentuk perhambaan’, kata hakim yang bersidang, Reinhold Baier dari mahkamah tinggi serantau di Munich.

Dia juga bersalah kerana membantu dan bersubahat atas pembunuhan itu dengan gagal memberikan bantuan serta menjadi anggota organisasi pengganasan.

Dia dan suaminya juga ahli IS, ‘membeli seorang wanita dan kanak-kanak Yazidi sebagai ‘hamba’ domestik yang mereka tahan semasa tinggal di Mosul, Iraq ditawan IS pada 2015, kata mahkamah.

“Selepas kanak-kanak berkenaan jatuh sakit dan terkencing di tilamnya, suami tertuduh kemudian merantainya di luar rumah sebagai hukuman dan membiarkannya mati kehausan di bawah panas terik matahari,” kata pendakwa memberitahu mahkamah.

“Tertuduh membenarkan suaminya untuk melakukan perbuatan itu dan tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan budak perempuan tersebut.

Baier berkata defendan sering mengadu tentang budak perempuan itu dan menerima hukuman mati itu sebagai ‘menghukumnya’. – AFP