Jenazah pelawak legenda, Allahyarham Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman, 89, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Jati, Kampung Jawa.
Lebih 300 ahli keluarga, rakan artis dan peminat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Tak ketinggalan, Datuk Nash, Mat Over dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hamid menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Berita pemergian Hamid disahkan anak bongsunya, Nor Ashita Hamid.
Anak keempat, Mohd Affandi Hamid, 59, menyifatkan arwah bapanya sebagai seorang yang pemurah dan tidak pernah berkira mengenai wang ringgit.
“Arwah sangat penyayang, mudah mesra dan pemurah. Hubungan antara anak, cucu dan cicit pun cukup akrab,” kata Mohd Affandi. Mohd Affandi berkongsi, arwah sentiasa berpesan kepadanya dan adik-beradik supaya sentiasa kekal menjaga hubungan.
“Arwah meminta kami adik-beradik jangan menjauhkan diri dan selalu berhubung. Malah, arwah menitip pesan agar jangan tinggalkan emak sendirian.
“Arwah juga meminta maaf jika ada silap salah,” kata Mohd Affandi.
Sementara itu, Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, 63, ketika ditemui menggambarkan arwah seperti bapa kandungnya.
“Saya cukup mengenali keluarga arwah termasuk isteri dan anak-anaknya. “Saya panggil arwah pun bapa, isterinya pula mak. Pemergiannya satu kehilangan buat negara kerana satu lagi permata berharga meninggalkan kita selama-lamanya.
“Mengenalinya, arwah sangat tebal sikap merendah diri. Jujurnya, saya amat terkilan tak dapat berjumpa dengannya sekembali dari Tanah Suci Mekah,” kata Nash.
Ahmad Zahid turut menggambarkan Hamid sebagai insan seni yang berjiwa kental dalam perjuangannya.
“Saya mengenali arwah ketika menjadi Timbalan Menteri Penerangan. Arwah banyak terbabit dengan program terbitan RTM pada ketika itu.
“Arwah rapat dengan saya apabila menawarkan diri untuk hadir ke acara membabitkan saya.
“Sebenarnya, walaupun tebal dengan jiwa pelawak, arwah kental daripada segi perjuangan dan serius bekerja. Saya mengenalinya sebagai insan seni berjiwa halus dan sangat menghargai jasanya,” kata Ahmad Zahid.
Terdahulu, wartawan melaporkan pada Aidilfitri lalu, keadaan arwah Hamid hanya terlantar atas katil selepas diuji jangkitan COVID pada Februari lalu.
Namun, bintang yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 tidak mengalami penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kian uzur pada usia menginjak 90 tahun.
Hamid dan isterinya, Timah Abdul Hamid, 80, mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957. Menerusi perkahwinan, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit. – Agensi