Hamidin yakin Harimau Malaya mampu benam Indonesia

KUALA LUMPUR, 17 DIS – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin skuad Harimau Malaya mampu membenam musuh tradisinya, Indonesia pada Ahad ini, andai semua pemain memberikan komitmen penuh.

Hamidin yang mengadakan perjumpaan secara maya dengan skuad kebangsaan yang sedang mengharungi kempen Piala AFF 2020 di Singapura, menganggap aksi terakhir Kumpulan B menentang skuad Garuda itu tidak mustahil untuk dimenangi.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi pasukan kita boleh mengalahkan Indonesia dengan berbekalkan komitmen semua pemain dan pegawai, serta strategi yang betul.

“Ia berserta kemahuan pasukan yang mustahak untuk kita adunkan dengan sebaik mungkin untuk capai kejayaan,” katanya menerusi kenyataan.

Hamidin bagaimanapun meminta skuad kendalian Tan Cheng Hoe supaya berhati-hati dan lebih berwaspada supaya tidak tercicir mata pada aksi tersebut, dengan skuad Malaysia wajib menang untuk meraih tiket ke separuh akhir. – Bernama