Hamil lima bulan, Eyra Hazali puasa ikut kemampuan

Meskipun berasa sebak kerana tidak dapat menyambut Ramadan bersama keluarga di Kuala Lumpur, pelakon Eyra Hazali bersyukur dapat meluangkan masa bersama suaminya, Muhammad Haziq Nadzli di Johor.

Malah Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 21, berkata dia tetap gagahkan diri untuk berpuasa dalam keadaan dirinya sedang hamil lima bulan namun dilakukan mengikut kemampuannya.

“Puasa kali ini memang berbeza dan sebak sikit sebab selalu dengan keluarga. Apa-apa pun mesti dengan keluarga di KL tapi kita terkandas di Johor. Dalam pada masa yang sama, gembira juga sebab dapat sambut Ramadan pertama kali dengan suami.a

“Banyak masa diluangkan bersama seperti memasak dan cuba resipi baru. Buat masa kini, saya cuba puasa selang seli. Hari pertama saya puasa tapi itu pun tak larat sangat, saya tetap gagahkan diri.

“Saya memang sahur tapi macam biasa la kita mesti ada rasa lapar sikit tambahan pula ada buat kerja rumah, mungkin itu yang membuatkan saya lagi penat. Sebenarnya Haziq tak beri saya puasa sebab risau macam-macam boleh jadi.

“Insya-Allah saya cuba buat mana yang mampu. Tapi kalau tak boleh pun, saya okay saja tak teruskan, puasa boleh ganti, anak tak boleh ganti. Lagipun, first babykan,” katanya.

Tambahnya lagi, disebabkan tempoh PKP dilanjutkan, dia dan suaminya terpaksa membeli barang keperluan cahaya mata pertama mereka yang dijangka lahir pada Ogos depan secara dalam talian.

“Sepanjang PKP ini, selain menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, saya juga fokus pada perniagaan iaitu produk kecantikan dan minyak wangi Eyrahazalibeauty. Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan macam ini, rezeki saya tidak putus.

“Disebabkan saya tengah mengandung dan kebetulan PKP dilanjutkan, jadi kami tak dapat nak keluar beli barang baby. Saya dan Haziq hanya beli barang secara dalam talian saja buat masa ini,” ujarnya. –Agensi

Eyra seronok dapat berpuasa dengan suami buat kali pertama. – Agensi