Hamilton, Bottas catat masa terpantas

MONTMELO, 20 FEB – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas mencatatkan masa terpantas dalam hari pertama percubaan pra musim Formula Satu, sekali gus memberikan saingan sengit kepada pasukan pelumba lain.

Hamilton yang mencatatkan masa terpantas Rabu lalu dalam sesi pembukaan dengan masa 1 minit 16.976 saat, selepas menggantikan rakan sepasukan beliau, Bottas. Manakala percubaan terbaik Bottas menyaksikan beliau ketinggalan 0.337 saat.

Kedua-dua pemandu Mercedes tersebut menghabiskan kesemua 173 pusingan.

Pemandu Racing Point, Sergio Perez mencatatkan masa ketiga terpantas dan diikuti oleh Max Verstappen dari pasukan Red Bull.

Hamilton memulakan musim ini sebagai pilihan utama yang mana beliau ingin menyamai rekod pemandu legenda Michael Schumacher dengan tujuh kejuaraan dunia dan memintas rekod pemandu Jerman dengan 91 kemenangan karier. Setakat ini Hamilton berjaya memenangi enam kejuaraan dunia dan 84 kemenangan perlumbaan.

“Ini adalah hari yang sangat baik dan permulaan yang sangat baik untuk kami, memandangkan kami mempunyai rehat yang panjang,” kata Hamilton. “Jadi kami kembali dan mencatatkan melebihi 170 pusingan untuk menunjukkan betapa keras kami semua bekerja sepanjang musim sejuk lepas.”

Percubaan pra musim tahun lepas, Mercedes ketinggalan di belakang Ferrari tetapi mereka berjaya menewaskan mereka di perlumbaan pertama dan tidak mensia-siakan kelebihan peluang tersebut.

Hamilton dan Bottas masing-masing menamatkan sembilan kali perlawanan dengan meraih tempat pertama dan kedua secara keseluruhan. – AP

Pemandu Great Britain, Lewis Hamilton mencatatkan masa terpantas pada hari pertama percubaan pra musim Formula Satu di litar Barcelona Catalunya, Montemelo, Sepanyol. – AP