SPIELBERG, Austria, 28 Jun – Pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton dan pasukan Mercedes pastinya berharap untuk mengulangi pencapaian sama pada aksi hujung minggu ini di Grand Prix (GP) Austria.
Selepas menguasai GP Perancis, Ahad lalu untuk kemenangan podium ke-65 sepanjang kariernya, juara dunia empat kali itu tiba di Austria dengan kelebihan 14 mata dibantu peningkatan luar biasa enjin jenteranya yang dilaraskan semula.
Malah, Hamilton dan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas akan turun sebagai pilihan pada perlumbaan Ahad ini yang mana kuasa enjin memainkan peranan penting di atas litar yang menawarkan aksi sukar.
Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff menegaskan selepas kemenangan Ahad lalu bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah saingan musim ini apatah lagi dengan prestasi seperti yo-yo setiap pasukan.
“Adakah kami memiliki enjin terbaik ketika ini?,” katanya.
“Sukar untuk bercakap mengenainya kerana apabila melihat pada data jentera terpantas adalah Kimi (Raikkonen dari Ferrari).”
Wolff turut meramal nasib Hamilton dan pencabar utamanya Sebastian Vettel (Red Bull) akan ditentukan dalam satu demi satu perlumbaan dengan mereka kini jauh meninggalkan pesaing lain.
Tambahnya, Hamilton dan Vettel masing-masing mendahului dengan 17 mata musim ini dan dijangka kelebihan itu akan berterusan dalam setiap perlumbaan.
“Saya rasa apa yang anda nampak di Montreal berbanding dengan Le Castellet hanya peningkatan kecil yang lebih utama.” – AFP

































