Hamilton enggan ulas insiden GP Brazil

DOHA, QATAR, 19 NOV – Lewis Hamilton menjauhkan diri daripada permintaan pasukan Mercedes supaya penganjur perlumbaan melihat kembali insiden yang berlaku pada Grand Prix (GP) Brazil Ahad lalu apabila Max Verstappen memaksanya keluar dari litar.

Bercakap kepada wartawan menjelang perlumbaan minggu ini di GP Qatar, juara dunia tujuh kali itu mendedahkan dia tidak terbabit dalam proses berkenaan, sebaliknya mahu menyimpan tenaga.

“Saya tidak menjadi sebahagian daripada insiden tersebut,” kata Hamilton yang menampilkan perlumbaan hebat bagi mengurangkan kelebihan Red Bull dalam kejuaraan kepada 14 mata berbaki tiga perlumbaan.

“Sudah tentu saya tahu mengenainya dan saya menyokong penuh pasukan, tapi saya cuba memberikan seluruh tenaga untuk hujung minggu ini, bagi memastikan kami tiba dan beraksi dengan baik. Saya tidak pasti mengenai status perbincangan itu dan di mana ia akan berakhir. Saya tidak mahu membuang masa dan tenaga saya.”

Hamilton bercakap ketika sidang media menjelang perlumbaan Ahad ini di Litar Antarabangsa Losail yang akan digunakan oleh Formula Satu (F1) buat kali pertama ketika perbincangan sedang berlangsung. Insiden berkenaan menjadi perhatian pada pusingan ke-48 daripada keseluruhan 71 di Sao Paulo apabila Hamilton cuba memintas Verstappen di selekoh keempat.

Pelumba Belanda itu cuba mempertahankan posisinya dan kedua-dua jentera terkeluar daripada litar. – AFP

Lewis Hamilton bercakap semasa sidang media sebelum Grand Prix F1 Qatar di Litar Antarabangsa Losail di bandar Lusail pada 18 November 2021. – AFP