Hamilton janji tingkat kepelbagaian dalam sukan permotoran

LONDON, 24 SEPT – Lewis Hamilton berjanji untuk meningkatkan jumlah orang berkulit hitam menyertai dalam perlumbaan sukan bermotor, mengumumkan anggota Suruhanjaya Hamilton yang bertujuan untuk mengatasi kekurangan kepelbagaian di semua peringkat sukan permotoran.

Juara dunia Formula Satu (F1) enam kali, yang telah lantang menyokong gerakan Black Lives Matter, melancarkan inisiatif itu pada bulan Jun lalu.

Badan itu kini dianggotai seramai 14 orang termasuk bekas ketua McLaren, Martin Whitmarsh, bekas menteri sukan, Tracey Crouch dan ketua eksekutif Royal Academy of Engineering, Hayaatun Sillem. Hamilton, yang dalam perjalanan untuk menyamakan rekod 91 kejuaraan Grand Prix Michael Schumacher di Rusia hujung minggu ini adalah satu-satunya pemandu berkulit hitam di F1.

Alexander Albon dari Thailand, pemandu Red Bull adalah satu-satunya pesaing yang bukan berkulit putih dalam sukan itu.

“Apa yang lebih mendapat perhatian adalah bahawa masih sedikit orang yang memiliki warna kulit berlainan dalam acara sukan ini,” kata Hamilton dalam satu kenyataan.

Hamilton mengatakan bahawa perubahan tidak cukup cepat dan penting untuk mengetahui mengapa.

“Inilah sebabnya mengapa saya ingin menubuhkan suruhanjaya itu,” katanya. “Dan saya bangga dapat bekerjasama dengan Royal Academy of Engineering dan dewan pesuruhjaya kami yang luar biasa untuk mengenal pasti halangan yang dihadapi golongan muda berkulit hitam untuk mengambil kerjaya STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dalam sukan permotoran. – AFP

Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dari Britain ketika memenangi Grand Prix F1 Tuscany, di litar Mugello di Scarperia, Itali, pada 13 September. – AP