Hamilton kembali bertenaga

SINGAPURA, 14 Sept – Lewis Hamilton menegaskan dia semakin bertenaga selepas menikmati cuti di seluruh pelosok dunia tatkala pencabarnya sibuk menjalani persediaan menghadapi perlumbaan getir Grand Prix (GP) Singapura, hujung minggu ini.

Pelumba pasukan Mercedes itu menjarakkan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan F1 kepada 30 mata di depan pencabar utamanya dari Ferrari, Sebastian Vettel dengan kemenangan di GP Itali di Litar Monza, dua minggu lalu.

Selepas kemenangan itu, Hamilton menaiki jetnya untuk mengharungi jadual popular padat membabitkan pertunjukan fesyen di Shanghai, China dan New York, Amerika Syarikat sebelum tiba di Singapura.

Juara dunia empat kali itu menolak betapa kehidupan luar biasanya yang sibuk itu sebagai gangguan, sebaliknya mendakwa ia membantunya untuk memenangi perlumbaan.

“Saya memperoleh banyak tenaga daripada pelbagai perkara yang saya lakukan,” kata Hamilton menjelang perlumbaan di Litar Marina Bay.

Hamilton ketika beraksi di Litar Marina Bay Street semasa sesi latihan pertama menjelang Grand Prix Formula Satu Singapura, kelmarin. – AFP

“Saya mendapati ia memberi rangsangan dan saya fikir kamu dapat melihatnya berdasarkan keputusan yang saya tunjukkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”

Tidak seperti Hamiton, pelumba Jerman Vettel berkata dia menikmati ‘dua minggu yang tenang’ selepas Monza dan menghabiskan keseluruhan masanya untuk bersedia mengharungi perlumbaan yang dianggap ‘paling sukar musim ini.’

Pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo yang meraih tempat kedua di Singapura musim lalu berkata dia menjalani latihan di gim dengan ‘tujuh lapisan pakaian’ untuk menyesuaikan diri dengan perlumbaan yang panas dan kebiasaannya berlangsung hampir dua jam.

Begitupun, Hamilton berkata dia cukup cergas untuk menghadapi GP Singapura dan fokus sepenuhnya terhadap perlumbaan bermula dengan dua sesi latihan esok. – AFP