Hamilton, kereta F1 ceriakan Harry

LONDON, 14 Mei – Sebuah kereta Formula Satu (F1) telah dihantar ke rumah seorang budak lelaki yang menghidap kanser,yang menjadi inspirasi pada kejayaan Lewis Hamilton di Grand Prix Sepanyol.

Hamilton mendedikasikan kemenangannya di Barcelona kepada Harry Shaw, seorang budak lelaki berusia lima tahun dari Surrey, yang diramalkan tewas dalam perjuangannya menentang satu penyakit tulang yang jarang sekali terjadi.

Pasukan Mercedes kemudian mengatur salah sebuah kereta F1 mereka untuk diletakkan di luar rumah Harry di Redhill semalam.

Budak itu, didukung bapanya, James, kemudian dibawa melihat kereta Hamilton oleh salah seorang kakitangan Mercedes.

Jika dilihat pada kepantasan penyakitnya, ia menandakan kali pertama dia berada di luar rumah dalam tempoh tiga minggu.

Harry kemudian diberikan trofi kemenangan Hamilton dari perlumbaan di Barcelona, dan sepasang sarung tangan lumba daripada juara dunia itu. Hamilton juga merekodkan video mesej sokongan untuknya.

“Saya tidak boleh bayangkan betapa bermaknanya semua ini apabila Lewis memenangi perlumbaan untuk Harry, dan kemudian mendedikasikannya kepada Harry,” kata James.

“Kehidupan kami begitu sukar, tetapi ini telah memberikan kami rangsangan dan senyuman besar.

“Harry tidak percaya bahawa Lewis Hamilton bercakap mengenainya, dan dia telah mendedikasikan perlumbaan itu buatnya.” – AFP

Lewis Hamilton meraikan kemenangannya di GP Sepanyol. Kemenangan itu didedikasikannya kepada seorang budak yang menghidap kanser, Harry Shaw. – AP
SAHAM
TerdahuluNekbat kuih ekslusif Ramadan
SeterusnyaRalat