Hamilton lancar pasukan Extreme E

LONDON, 8 SEPT – Juara dunia Formula Satu (F1) enam kali Lewis Hamilton hari ini mengumumkan beliau akan memasukkan satu pasukan dalam pertandingan Extreme E, siri perlumbaan elektrik luar jalan baharu yang bertujuan mempromosi isu alam sekitar.

Ia akan menjadi usaha pertama Hamilton dalam pemilikan pasukan sukan motor, walaupun beliau tidak akan memandu atau terbabit dalam operasi harian pasukan X44 beliau – dinamakan sempena nombor keretanya di Mercedes.

Peserta pertandingan akan berlumba dalam kenderaan elektrik di lima lokasi terpencil – artik, padang pasir, hutan hujan, glasier dan pantai – yang telah pun dirosakkan atau menghadapi ancaman daripada perubahan iklim.

Extreme E dijadualkan bermula pada Januari 2021. Kenderaan SUV elektrik akan berlumba di Senegal, Arab Saudi, Nepal, Greenland dan Brazil, dengan setiap perlumbaan diadakan dalam tempoh dua hari.

Untuk mengurangkan kesan alam sekitar, mereka tidak akan dibuka kepada penonton dan pusat untuk siri kejohanan adalah sebuah kapal, diubahsuai untuk mengurangkan pengeluaran karbon.

Pelumba Britain Hamilton, 35, yang berusaha untuk memenangi kejuaraan F1 ketujuh, telah bersikap lantang mengenai beberapa isu, termasuk alam sekitar dan ketidakadilan perkauman.

“Extreme E benar-benar menarik minat saya disebabkan fokusnya dalam alam sekitar,” kata Hamilton. “Setiap di antara kami mempunyai kuasa untuk membuat perbezaan, dan ia amat bermakna bagi saya di mana saya boleh menggunakan minat saya dalam perlumbaan, bersama dengan minat saya dalam planet yang disayangi, untuk memberikan impak positif.

“Bukan sahaja kami akan melawat lokasi terpencil berdepan dengan krisis iklim, kami juga akan bekerjasama dengan pakar iklim terkenal untuk berkongsi pengetahuan kami dan meninggalkan warisan positif di belakang di setiap lokasi yang jauh dari litar perlumbaan.” – AFP

TOPSHOT – Mercedes’ British driver Lewis Hamilton competes during the Italian Formula One Grand Prix at the Autodromo Nazionale circuit in Monza on September 6, 2020. (Photo by MIGUEL MEDINA / POOL / AFP)