Hamilton mahu cuba MotoGP

MELBOURNE, 14 Mac – Lewis Hamilton berkata, dia ‘100 peratus’ mahu menunggang motosikal MotoGP dan berharap diberikan lebih masa untuk menguji jentera dua roda itu sebagai persiapan menghadapi cabaran berkenaan.

Juara dunia lima kali Formula Satu (F1) dari Britain itu secara terbuka menyatakan minatnya terhadap motosikal dan menghadiri pusingan pembuka tirai MotoGP di Qatar minggu lalu sebagai tetamu pasukan yang disokong penuh Yamaha, Petronas Yamaha Sepang Racing.

“Sengit, kelajuan yang gila dan tidak boleh dimaafkan, sukan ini satu fenomena,” kata pemandu Mercedes dalam akaun Twitter.

“Pengalaman yang menarik! Apa kata jika kamu membenarkan saya menunggang pada masa depan?.”

Kehadiran Hamilton di Qatar adalah susulan kepada percubaannya menunggang Yamaha di Kejuaraan Superbike Dunia di Jerez, Disember lalu dan dia memberitahu motogp.com dirinya mahukan sesuatu yang lebih daripada itu.

“100 peratus saya akan menunggang, saya sedang bersiap sedia ke arah itu,” katanya menjelang aksi pertamanya bagi mempertahankan gelaran di Kejuaraan F1 di Grand Prix Melbourne, Ahad ini.

“Yang pertamanya saya memerlukan lebih masa (di atas motosikal) kerana saya hanya mempunyai lebih kurang dua hari lebih di trek tetapi jujurnya saya minat untuk mencuba jentera MotoGP. Ia satu impian.” – AFP