Hamilton mahu tebus kekecewaan di GP Britain

SILVERSTONE, 11 JULAI – Lewis Hamilton berazam untuk bangkit semula daripada kekecewaan dengan memenangi Grand Prix Britain buat kali keenam hujung minggu ini, di depan penyokong paling ramai di litar Silverstone dalam tempoh hampir tiga dekad.

Selepas mengalami kekecewaan di Austria, di mana dia menamatkan perlumbaan di tempat kelima dua minggu lalu, juara dunia itu dan pasukan Mercedes dijangka mempamerkan persaingan sengit pada hujung minggu ini.

Ia akan menjadi kemenangan keenam secara keseluruhan dan kelima dalam tempoh lima tahun di litar yang disukainya, juga akan menjadi kemenangan ketujuh dari 10 perlumbaan tahun ini serta melebarkan pendahuluan 31 mata di depan rakan sepasukan Valtteri Bottas dalam kejuaraan pemandu.

“Ini adalah perlumbaan yang saya tunggu-tunggu musim ini dan ia adalah hujung minggu yang saya selalu nikmati sebaiknya,” kata Hamilton, yang dengan pantas meraikan pengesahan satu kontrak baharu selama lima tahun bagi mengekalkan Grand Prix Britain dalam kalendar Formula Satu (F1) sehingga 2024.

“Dengan menerima sokongan daripada negara anda yang tertumpu pada satu hujung minggu benar-benar menjadikan beberapa hari anda luar biasa. Tenaga semua orang sungguh bernilai.”

Jika dia menang, Hamilton akan berganjak dari kedudukan yang sama dengan Jim Clark dan Alain Prost, di mana dia berkongsi kedudukan lima kemenangan dengan mereka.

Selepas mengalami kekalahan pertama selepas rentetan lapan kemenangan, Mercedes tidak sabar mahu mengembalikan kehebatannya di laman sendiri, di mana kedua-dua kilang enjin dan kereta itu berpangkalan di Silverstone. – AFP

Lewis Hamilton dilihat menggunakan sebuah skuter di sekitar litar Silverstone kelmarin. – AP