Hamilton raih petak hadapan di GP Hungary

BUDAPEST, 1 OGOS – Lewis Hamilton meraih petak hadapan kali ke-101 dalam Formula Satu dan menyasarkan kemenangan ke-100 dalam kariernya di Grand Prix Hungary hari ini.

Pemandu Britain itu memegang rekod kemenangan dan petak pertama di F1 melakar rekod lapan kemenangan di GP Hungary, termasuk tiga perlumbaan terakhir.

Meskipun litar Silverstone merupakan gelanggang di tempat sendiri – di mana dia memenangi lapan perlumbaan – Hamilton turut merasakan Hungary sebagai gelanggang di laman sendiri.

Dia kali pertama menang di litar tersebut pada 2007, kemenangan ketiga dalam karier gemilangnya. Kemenangan sulungnya bersama Mercedes pada 2013.

Hamilton tidak menduduki petak hadapan sejak GP Sepanyol pada awal Mei. Pemandu Ferrari, Charles Leclerc merebut dua petak hadapan dan pemandu Red Bull, Max Verstappen meraih empat kemenangan berturut-turut ketika dia mendahului kejuaraan.

Tetapi kemenangan kontroversi Hamilton dua minggu lalu di GP Britain merapatkan jurang dengan Verstappen dari 33 mata kepada lapan. Hamilton mampu berada lebih dekat di perlumbaan akhir sebelum rehat pertengahan musim. – AP

Reaksi Lewis Hamilton setelah meraih petak hadapan di GP Hungary dan kini menyasarkan kejuaraan peribadi ke-100. – AFP