LE CASTELLET, 26 Jun – Lewis Ha-milton tetap ‘berpijak di bumi yang nyata’ di mana dia menuju ke ‘triple header’ pertama Formula Satu (F1) di Austria hujung minggu ini selepas mencatat kemenangan yang memberangsangkan baru-baru ini di Grand Prix Perancis.
Hamilton kembali mendahului kejuaraan dunia dengan kelebihan 14 mata mengatasi Sebastian Vettel, sekali gus memuji kerja keras pasukan Mercedes dengan kejayaan itu.
Selepas menghuni kedudukan kelima di Kanada, di mana Vettel merangkul kejuaraan buat Ferrari, Hamilton dan Mercedes telah membuat analisis dalaman.
Dengan memperkenalkan enjin yang telah diubah suai, selepas berlaku penangguhan, memberikan Hamilton dorongan tetapi dia dengan segera memuji pasukannya yang berperanan semasa kejayaan perlumbaan tempoh hari di Perancis buat pertama kali dalam tempoh sedekad.
“Apabila anda konstruktif, tetapi mengkritik diri sendiri dan melihat kembali, lalu membuat pendekatan dengan kaedah dan penentuan baharu, maka anda mencapai keputusan yang dimahukan, ia merupakan perasaan yang menarik,” menurut Hamilton selepas mencatat kemenangan ke-65 dalam karier.
“Tetapi perjalanan masih jauh dan kami perlu membuat pendekatan yang sama.”
Pemandu dari Britain itu dominan di Le Castellet, mendahului sesi latihan, memperolehi kedudukan teratas yang ke-75 kali dan mencatat kemenangan selesa.
Dia tidak mensia-siakan peluang akibat kecuaian daripada juara empat kali dari Jerman, Vettel yang merempuh rakan sepasukan Hamilton ketika pusingan pertama dan selepas pulih, dia telah diberikan penalti dan mengakhiri pada kedudukan kelima. – AFP

































