Hamilton tiada rancangan tinggalkan Mercedes

LONDON, 21 APRIL – Lewis Hamilton telah memuji Mercedes sebagai ‘pasukan pilihannya’ dengan juara dunia tersebut menjelaskan dia tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan pasukan itu apabila kontraknya bakal tamat selepas musim 2020.

Pemandu Britain telah dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Ferrari selepas juara dunia sebanyak enam kali mendedahkan pada bulan Januari dia belum mengadakan perjanjian baharu bersama Mercedes. Ketua pegawai eksekutif Ferrari, Louis Carey Camilleri berkata dalam bulan Disember bahawa dia ‘tertarik’ bahawa Hamilton telah bersetuju untuk berbincang masa depannya dalam perbualan dengan pengerusi pasukan, John Elkann.

Tetapi pemandu berusia 35 tahun itu kelihatan telah mengakhiri perbincangan untuk berpindah Isnin lalu apabila dia berkata masa depannya kekal bersama Mercedes.

“Tiada impian untuk pasukan lain. Saya bersama pasukan idaman saya,” katanya menerusi Instagram.

“Tiada satu pun halangan, dengan saya tidak cuba untuk berpindah. Saya bersama orang yang menjaga saya sejak hari pertama.” – AFP