Hamilton tidak akan boikot GP Belgium

SPA, BELGIUM, 28 OGOS – Lewis Hamilton tidak akan memboikot perlumbaan Grand Prix Belgium pada hujung minggu ini walaupun bersimpati dengan tunjuk perasaan oleh atlet sukan Amerika Syarikat (AS) setelah kejadian penembakan Jacob Blake di negara itu, tetapi mengatakan dia merasa bersatu dengan perjuangan mereka.

Pendahulu kejuaraan dunia dan juara enam kali memberitahu wartawan melalui sidang video rasmi bahawa dia kagum dengan atlet yang mengambil tindakan sehingga menyebabkan perlawanan ditangguhkan.

“Saya bersatu dengan mereka dan cuba untuk melakukan apa yang saya mampu di sini (di Eropah),” jelasnya.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk tidak menyertai perlumbaan. Ia masih diadakan, tetapi saya akan berbincang dengan Formula Satu untuk melihat apa yang saya boleh lakukan untuk memberi kesedaran dan terus berusaha melakukannya.”

Sebilangan atlet di AS telah memboikot beberapa perlawanan sukan pada minggu ini selepas Blake – seorang lelaki berkulit hitam yang tidak bersenjata, telah ditembak oleh pegawai polis di Kenosha, Wisconsin pada Ahad lalu.

Kejadian penembakan Blake telah mencetuskan kemarahan di seluruh dunia di tengah-tengah aktivisme yang sedang berlaku bagi menentang isu perkauman, keganasan polis dan ketidakadilan kaum.

Hamilton menambah bahawa ia adalah ‘sesuatu yang menakjubkan apa yang dilakukan oleh mereka di AS di kalangan atlet sukan sehingga orang ramai yang menganjurkan protes’.

“Tetapi itu di AS dan saya tidak tahu jika saya melakukannya di sini akan memberi sebarang kesan. Kami berada di Belgium dan bukan berada di AS.”

Pasukan Milwaukee Bucks yang berpangkalan di Wisconsin memulakan boikot apabila mereka enggan bermain dalam perlawanan playoff NBA pada Rabu lalu, sebagai tindakan mereka yang kemudian disusuli oleh beberapa pasukan dalam sukan besbol, bola sepak, bola keranjang dan tenis. – AFP

Lewis Hamilton berkata dia tidak akan memboikot perlumbaan Grand Prix Belgium tetapi menegaskan bahawa dia tetap bersatu dengan atlet lain menyokong isu perkauman di AS.- AFP