Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hamilton ungguli Grand Prix Kanada

    MONTREAL, 12 Jun – Lewis Hamilton telah menghidupkan semula usahanya bagi gelaran dunia keempat apabila memenangi Grand Prix Kanada di depan rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas.

    Ia adalah kemenangan keenam bagi juara tiga kali itu di Litar Gilles Villeneuve, di mana dia memperoleh kemenangan pertamanya pada tahun 2007, serta ketiganya musim ini dan ke-56 dalam kerjayanya.

    Hamilton mengambil peluang sepenuhnya terhadap petak hadapan ke-65 buat dirinya dan mendahului perlumbaan dari awal hingga akhir untuk menamatkan perlumbaan 15 saat di depan Bottas, yang berada 15 saat di depan Daniel Ricciardo, di tempat ketiga bagi Red Bull.

    “Terima kasih kepada semua penonton,” kata Hamilton dari podium di mana pelakon, Patrick Stewart selaku penemu bual.

    “Setiap tahun tenaga bertambah! Saya mendapat petak hadapan dan kemenangan pertama saya di sini, untuk mengulanginya adalah sesuatu yang sangat istimewa.

    Hamilton ketika memandu keretanya melepasi selekoh Senna menuju ke garisan penamat bagi kemenangan ketiganya musim ini. – AP
    Hamilton ketika memandu keretanya melepasi selekoh Senna menuju ke garisan penamat bagi kemenangan ketiganya musim ini. – AP
    Lewis Hamilton meraikan kemenangannya di atas podium selepas menjuarai perlumbaan F1 Grand Prix Kanada di Litar Gilles Villeneuve, sekali gus menghidupkan semula usahanya bagi gelaran dunia keempat. – AFP
    Lewis Hamilton meraikan kemenangannya di atas podium selepas menjuarai perlumbaan F1 Grand Prix Kanada di Litar Gilles Villeneuve, sekali gus menghidupkan semula usahanya bagi gelaran dunia keempat. – AFP

    “Ia adalah persembahan pasukan yang hebat dan Valtteri melakukan tugas yang luar biasa.”

    Ia merupakan kemenangan satu-dua Mercedes yang pertama tahun ini dan ia jelas terbukti menjadi penebus kekecewaan bulan lepas di Grand Prix Monaco.

    Bottas berkata: “Sebagai sebuah pasukan, kami sangat memerlukan kemenangan satu-dua ini untuk mendapatkan mata dan saya berbangga dengan pasukan ini serta apa yang telah mereka lakukan sejak Monaco, saya tahu apa yang perlu dilakukan hari ini.”

    Kemenangan Hamilton telah mengurangkan kelebihan 12 mata pendahulu kejohanan dan juara empat kali Sebastian Vettel selepas Ferrari mengalami kerosakan di awal perlumbaan, satu perhentian pit bagi pembaikan, menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

    Bahagian sayap depan Vettel mengalami kerosakan ketika dia dipintas oleh Max Verstappen dari Red Bull di awal perlumbaan, pemandu Belanda itu bermula dengan baik di tempat kedua sehingga terpaksa menarik diri kerana masalah elektrikal selepas pusingan ke-11.

    Pemandu dari Mexico, Sergio Perez menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan rakan sepasukannya dari Force India, Esteban Ocon berada di tempat keenam.

    Kimi Raikkonen berada di tempat ketujuh bagi Ferrari di depan Nico Huelkenberg (Renault), dengan pemandu rookie tanah air, Lance Stroll berada di tempat kesembilan bagi Williams dan pemandu Haas, Romain Grosjean di tempat ke-10.

    Perlumbaan tersebut menyaksikan drama di awal perlumbaan.

    Hamilton mendahului perlumbaan dengan baik dari grid, di belakangnya, Verstappen dilihat dengan pantas memintas Vettel untuk berada di kedudukan kedua, dengan jelas merosakkan bahagian sayap depan Ferrari ketika memintas.

    Di belakang mereka, Sainz berlanggar dengan pemandu Haas, Romain Grosjean dan terpusing serta terlanggar penghalang, yang juga menjejaskan kereta Felipe Massa dari Williams dalam insiden itu.

    Kedua pemandu tidak mengalami kecederaan, tetapi mereka terpaksa menarik diri dengan Kereta Keselamatan dikerahkan selama tiga pusingan sementara serpihan dibersihkan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda