Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hammam menjadi penyelesaian kekurangan air di Damascus

    DAMSYIK – Anwar al-Ades tidak mandi dengan sempurna selama dua minggu kerana kekurangan air di Damsyik, bandar Syria, namun semua itu bakal berubah di kemudahan permandian umum (hammam) tertua di bandar itu. Hamam Al-Malik al-Zahir elegan yang wujud pada tahun Masihi 985, tetapi mengalami permintaan yang tidak berlaku sebelum ini sejak berdepan pemotongan bekalan air ke bandar itu yang mengakibatkan berjuta-juta orang berdepan dengan kekurangan air.

    “Saya tidak mandi sejak bekalan air ke Damsyik diputuskan,”Ades, 34 tahun memberitahu AFP ketika dia mengenakan tualanya. “Sejak itu, bekalan air yang kami terima, hanya untuk mencuci dan minum. Mandi menjadi perkara kedua, terutamanya sejak musim sejuk.”

    Kebanyakan bekalan air ke bandar itu datangnya dari rantau Wadi Barada yang dikuasai pemberontak, kira-kira 15 kilometer barat laut Damsyik. Pertempuran telah berlaku di kawasan itu selama berminggu-minggu, yang merosakkan infrastruktur air dan berterusan meskipun telah bermula gencatan senjata di seluruh negara pada 30 Disember. Keadaan ini telah mengakibatkan sehingga 5.5 juta orang di Damsyik dan pinggir bandarnya berdepan kekurangan air, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Namun krisis itu terbukti satu rahmat bagi Al-Malik al-Zahir, salah sebuah dari banyaknya kemudahan tempat pemandian umum biasa di Damsyik, yang mempunyai bekalan air sendiri dari sebuah perigi. Hammam mempunyai sejarah panjang di Timur Tengah dan Turki, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan penduduk Damsyik cenderung mengunjunginya hanya pada masa istimewa, dengan hanya lebih kurang dua belas orang pelanggan mengunjungi Al-Malik al-Zahir setiap hari sebelum krisis air.

    Hamam Al-Malik al-Zahir sudah wujud di wilayah itu pada tahun Masihi 985. – AFP
    Hamam Al-Malik al-Zahir sudah wujud di wilayah itu pada tahun Masihi 985. – AFP

    Para pelanggan menunggu giliran mereka, dan mereka yang berehat-rehat selepas gosok, beristirahat di kerusi empuk atas platform tinggi yang diletakkan sekitar hujung bilik. – AFP
    Para pelanggan menunggu giliran mereka, dan mereka yang berehat-rehat selepas gosok, beristirahat di kerusi empuk atas platform tinggi yang diletakkan sekitar hujung bilik. – AFP

    Pelanggan meragui

    “Saya telah tidak pergi ke hammam selama 12 tahun sejak hari perkahwinan saya,” kata seorang pendandan rambut, Habib Issa, 32 tahun, yang sedang berehat di kawasan resepsi. “Saya mempunyai pelan kontingensi bagi kekurangan elektrik dan minyak, tetapi tidak pernah terlintas di fikirkan saya untuk membuat pelan kontingensi bagi air,” katanya. “Pada tahap ini, kita akan memerlukan pelan bagi bila tidak ada udara lagi tinggal di bandar ini!”

    Seperti kebanyakan tempat kemudahan pemandian, Al-Malik-al-Zahir dibahagikan kepada tiga bahagian utama, dengan nadinya bilik wap tengah. Di dalam platform tengah dikelilingi petak kecil, setiapnya dilengkapi dengan paip yang membekalkan banyak air panas dan sejuk, dan juga mangkuk dan sabun.

    Bersebelahan pula ialah kawasan yang dikhaskan bagi urut dan gosokan oleh kakitangan hammam, dan apabila proses itu selesai, para pelanggan menuju ke kawasan resepsi. Bilik besar dibentangkan seperti laman dalam dengan pancuran air tengah penuh hiasan memperlihatkan kehalusan hiasan jubin dalam bentuk bunga. Lantai ditutup dengan corak bengkang bengkok dengan jubin berwarna pasir dan putih, manakala warna tingkap kaca memasuki cahaya biru atau merah.

    Para pelanggan menunggu giliran mereka, dan mereka yang berehat-rehat selepas gosok, beristirahat di kerusi empuk atas platform tinggi yang diletakkan sekitar hujung bilik. Kakitangan menyediakan teh, paip untuk menghisap tembakau, snek dan pembasuh mulut ketika para pelanggan bersantai dengan diperhatikan oleh pemiliknya, Bassam Kebbab, yang telefonnya tidak berhenti berdering.

    Bilangan pelanggan hampir dua kali ganda dan alasan mereka datang hari-hari ini adalah berlainan, kini ia adalah keperluan yang mana sebelumnya ia hanyalah untuk waktu lapang,” dia memberitahu AFP. “Kami cuba untuk tidak menolak kehadiran mana-mana pelanggan, dan kami meminta mereka tidak berada di situ begitu lama supaya kami boleh memenuhi keperluan bilangan sangat ramai orang yang mahu mandi,” katanya lagi.

    Menunggu untuk bekalan air kembali

    Ketika dia bergerak melalui bahagian-bahagian berlainan di hammam, para pelanggan yang sungguh berminat terus menerus menghubungi dan dia mengaturkan tempahan bagi hari-hari mendatang, memohon maaf kerana mengecewakan harapan pelanggan untuk datang pada hari yang sama.

    “Saya telah pun membatalkan tempahan dari para peniaga yang mahu menempah keseluruhan hammam, melanjutkan waktu bekerja sehingga selepas tengah malam dan membeli lebih banyak sabun dan peralatan untuk memenuhi keperluan yang bertambah,” katanya lagi.

    Tetapi dia tidak menaikkan harganya, masih mengenakan bayaran masuk hanya 1,200 pound Syria, dengan kos urut dan gosokan lebih sedikit. “Apabila saya berjalan sekitar dan mendengar orang bercakap, mereka semua bercakap tentang satu perkara: bagaimana mendapatkan air dan bila keadaan akan pulih kembali seperti sebelumnya,” ujar Kebbab.

    Abdullah Al-Abdullah, 46 tahun bersantai selepas mandi di bahagian resepsi, bersedia untuk makan hidangan lentil dikenali sebagai mujadara, kegemaran biasa selepas mandi. “Di rumah, saya kekurangan bekalan elektrik, kehangatan dan air. Apabila tenaga dihidupkan, tidak ada air dan apabila ada bekalan air, tidak ada bekalan eletrik,” dia memberitahu AFP. “Dengan yang demikian saya datang ke hammam untuk mencari air, elektrik dan kehangatan di satu tempat,” ujarnya.

    Walau dia masih muda, seluruh rambutnya beruban, bukti kepada kepayahan hidup dalam peperangan hampir enam tahun, menurutnya, konflik Syria bermula pada Mac 2011 dengan bantahan anti kerajaan dan berkembang menjadi perang saudara yang kompleks yang telah mengorbankan lebih 310,000 orang dan lebih setengah penduduk negara berpindah tempat.

    “Separuh rambut saya beruban pada tahun pertama peperangan separuh lagi mula beruban pada tahun-tahun berikutnya,” kata Abdullah, seorang juruelektrik. “Saya telah kehilangan begitu banyak asas kehidupan tetapi keluarga saya dan saya tidak tahan dengan keadaan ketiadaan air. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda