Hammers perlukan satu mata untuk kekal di EPL

LONDON, 19 JULAI – West Ham semakin berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah meraih kemenangan 3-1 ke atas Watford.

Pasukan David Moyes mendahului perlawanan sebelum separuh masa di Stadium London menerusi jaringan Michail Antonio, Tomas Soucek dan Declan Rice.

Troy Deeney menjaringkan satu gol untuk Watford tetapi tidak berjaya membawa pasukannya untuk bangkit semula.

West Ham naik ke tangga ke-15 dan enam mata selamat dari zon penyingkiran dengan hanya tinggal dua perlawanan sahaja lagi.

Dengan perbezaan gol yang jauh lebih banyak berbanding Bournemouth ketiga tercorot dan Aston Villa kedua tercorot di liga, Hammers berada dalam keadaan selamat dari tersingkir.

Reaksi Michail Antonio dari West Ham ketika menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Watford di Stadium London semalam. – AP

Selepas kemenangan kedua berturut-turut, West Ham memerlukan satu mata lagi untuk menjamin mereka kekal di EPL.

Watford di kedudukan keempat tercorot hanya tiga mata di atas zon penyingkiran dan menghadapi kemerosotan prestasi pada musim ini.

Pasukan Nigel Pearson, yang tewas untuk pertama kalinya dalam tiga perlawanan, akan menentang Manchester City dan Arsenal dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Antonio telah menjaringkan empat gol dalam semua pertemuan West Ham menentang Norwich termasuk jaringan pada hujung minggu lalu dan penyerang itu telah mempamerkan aksi cemerlang.

West Ham mendahului perlawanan pada minit keenam menerusi jaringan Antonio melalui hantaran Pablo Fornals dan jaringan gol ketujuhnya sejak EPL kembali. Tidak sampai lima minit kemudian, tugas Watford menjadi semakin sukar ketika Soucek berjaya menemukan gol melalui hantaran Jarrod Bowen. – AFP