Hampir 100 ditahan tunjuk perasaan di HK

HONG KONG, 6 SEPT – Hampir 100 orang telah ditahan oleh polis Hong Kong hari ini selepas anggota polis rusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan demokrasi yang menentang penangguhan pilihan raya tempatan.

Hari ini sepatutnya hari mengundi bagi badan perundangan yang terpilih, salah satu daripada kewajiban penduduk Hong Kong untuk membuang undi.

Tetapi pemimpin bandar pro-Beijing, Carrie Lam menangguhkan undian selama setahun dengan alasan koronavirus, sekali gus mencetuskan kemarahan pembangkang pro-demokrasi yang berharap untuk memanfaatkan sentimen antikerajaan.

Ratusan polis rusuhan membanjiri daerah Kowloon dalam usaha menggagalkan seruan dalam talian untuk tunjuk perasaan bagi menandakan penangguhan undi.

Sepanjang hari, anggota polis dikepung oleh penunjuk perasaan yang melaungkan slogan seperti ‘kembalikan undi kami’ dan ‘polis disogok’ ketika pegawai melakukan beberapa pemeriksaan dan pencarian dan mengarahkan orang ramai untuk bersurai.

Hampir 100 orang penunjuk perasaan demokrasi telah ditahan selepas mereka tidak berpuas hati dengan penangguhan pilihan raya tempatan. – AP

Dalam kenyataan menerusi Facebook, pihak polis berkata sekurang-kurangnya 90 orang telah ditahan setakat 5 petang, yang kebanyakannya kerana tidak menghormati undang-undang perhimpunan.

Seorang wanita telah ditahan di bawah peraturan keselamatan baharu yang dilaksanakan Beijing ke atas bandar tersebut kerana menyuarakan slogan kemerdekaan, pihak berkuasa menambah.

Imej langsung menunjukkan tiga orang ahli politik pro-demokrasi yang terkenal – Leung Kwok-hung, Figo Chan dan Raphael Wong – adalah antara yang ditahan.

Tunjuk perasaan berlaku beberapa jam selepas unit keselamatan nasional yang baru dibentuk menahan Tam Tak-chi, seorang aktivis demokrasi dan DJ radio kerana ‘mengungkapkan kata-kata kesat’ – suatu kesalahan era penjajahan.

Tam adalah pengkritik kerajaan terbaharu yang berdepan dengan dakwaan dalam beberapa bulan terakhir kerana penglibatan mereka dalam tunjuk perasaan. – AFP