Hampir 100 Rohingya diselamatkan di Indonesia

LHOKSEUMAWE, INDONESIA, 25 JUN – Hampir 100 etnik Rohingya dari Myanmar termasuk 30 kanak-kanak diselamatkan dari kapal kayu usang di pesisir pulau Sumatera, Indonesia, menurut pegawai maritim kelmarin.

Imej-imej diambil dari bot penyelamat Indonesia menunjukkan berpuluh-puluh kanak-kanak dan orang dewasa, ramai daripadanya menangis, diselamatkan dari kapal mereka oleh nelayan tempatan.

“Kapal membawa orang Rohingya ini rosak dan terapung di tengah laut apabila nelayan menemui mereka,” kata Muhammad Nasir, ketua pihak berkuasa maritim di wilayah Aceh, utara Sumatera.

Mereka tidak makan selama berhari-hari, kata pegawai.

Malaysia dan Indonesia merupakan destinasi kegemaran Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar, dengan beribu-ribu cuba melepaskan diri melalui penyeludup yang membawa mereka menyeberangi lautan merbahaya setiap tahun. – AFP

Nelayan Aceh membantu mengeluarkan kanak-kanak Rohingya dari Myanmar ke pesisir pantai Kampung Lancok, Indonesia, 25 Jun. Hampir 100 orang Rohingya termasuk 30 kanak-kanak diselamatkan dari kapal kayu usang di Aceh, menurut pegawai maritim. – AFP