Hampir 10,000 telah mendaftar dalam SKN

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Sistem Kebajikan Negara (SKN) mendapat respons menggalakkan daripada para pemohon yang memerlukan semenjak ia mula beroperasi pada 15 Julai, dengan lebih kurang 9,984 orang telah pun mendaftar dalam sistem berkenan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menjawab mengenai SKN pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kemen-terian Kesihatan hari ini menjelaskan seramai 2,866 lagi telah memohon bantuan sama ada melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) atau Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Daripada pecahan itu, 1,422 orang memohon melalui JAPEM dan 1,444 lagi melalui MUIB.

“Sistem satu pangkalan data ini sentiasa dipantau oleh taskforce dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).”

Beliau turut mengongsi beberapa permasalahan termasuk isu memasuki sistem itu yang dipantau bersama oleh KKBS dan MUIB agar pemohon lebih mudah memasukinya.

Menurutnya lagi, setakat hari ini, lebih kurang 3,300 orang dibantu untuk mengisi atau mendaftar ke dalam SKN melalui KKBS atau cawangan JAPEM di Tutong atau Temburong.

Manakala bermula 4 Ogos lalu, JAPEM telah berkunjung ke 15 buah kampung untuk membantu pendaf-taran ke dalam sistem itu.