Hampir $13 juta dibelanjakan bagi tujuan COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Akaun Dana Bantuan COVID-19 yang dibuka bagi memudahkan syarikat-syarikat dan orang awam untuk membuat sumbangan wang tunai secara sukarela dalam sama-sama membantu Kementerian Kesihatan membiayai keperluan-keperluan kegunaan menangani situasi jangkitan wabak COVID-19, telah menerima sejumlah $14,597,940 setakat pukul 4:15 petang hari ini.

Jumlah tersebut telah dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Semasa sidang media tersebut, Yang Berhormat Dato juga memaklumkan bahawa bagi memanfaatkan sumbangan yang telah diterima, yang sudah setentunya akan menjadi amal jariah daripada semua penyumbang, sebahagian daripadanya iaitu sejumlah $12,953,059.30 telah dikenal pasti dan diperuntukkan bagi membiayai pembinaan Pusat Pengasingan Kebangsaan Baharu, Tutong, pembelian peralatan perubatan yang diperlukan oleh pusat berkenaan dan pembelian Infrared Thermal Imaging Device – Smart Helmet.

“Insya-Allah, baki sumbangan selepas perbelanjaan yang saya nyatakan tadi dan jua sumbangan seterusnya yang diterima nanti, akan digunakan bagi membiayai peralatan-peralatan perubatan tambahan yang diperlukan dan setelah dikenal pasti oleh Jawatankuasa Dana Bantuan COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan,” jelas beliau lagi.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa akaun tabung berkenaan akan ditutup pada 1 Ogos ini kerana negara telah tidak mencatatkan kes baharu COVID-19 bagi jangka masa dua bulan setengah yang lalu, dan memandangkan jumlah sambutan orang ramai yang membuat sumbangan semakin berkurangan.

“Dalam hubungan itu, orang ramai masih berpeluang dan dialu-alukan untuk membuat sumbangan masing-masing sebelum akaun ini ditutup,” kongsinya.

Pada kesempatan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merakamkan berbanyak-banyak terima kasih atas keprihatinan, keikhlasan dan semangat kesukarelawan serta perpaduan para penderma sama ada secara persendirian atau syarikat-syarikat, pertubuhan atau lain-lain agensi dalam sama-sama membantu menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, semasa sesi soal jawab, mengulas mengenai saranan menggunakan sebahagian dana berkenaan bagi membantu makanan untuk para sukarelawan, Yang Berhormat Dato berkata pada masa ini memang ada disediakan makanan untuk para sukarelawan dan dana tersebut memang boleh digunakan untuk makanan akan tetapi satu keprihatinan adalah penggunaan dana tersebut mereka akan hadapkan ke ketua audit untuk diaudit.

“Jika kita gunakan dana ini untuk membeli makanan, barangkali sukar sedikit untuk diaudit. Apa yang kami mahu lakukan adalah untuk menyenangkan ketua audit untuk mengaudit penggunaan dana,” jelasnya.