SINGAPURA, 23 DIS – Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menggagalkan dua cubaan berasingan untuk menyeludup kira-kira 15 kilogram (kg) dadah yang disembunyikan dalam dua lori yang didaftarkan di Malaysia, melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Dua pemandu warga Malaysia berumur 38 dan 44 tahun ditahan dan dibawa ke Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan, demikian menurut pihak berkuasa itu dalam kenyataan bersama hari ini.
Pada 18 Disember lalu, sebuah lori yang didaftarkan di Malaysia membawa bungkusan tauge telah dirujuk oleh pegawai ICA untuk pemeriksaan dan mendapati tujuh bungkusan dadah terkawal mengandungi kira-kira 4,622g heroin dan 521g dadah jenis ‘ice’.
Sementara itu, kes kedua pada 21 Disember melibatkan sebuah lori yang membawa perabot dan alat ganti kenderaan dan pegawai yang memeriksa kenderaan itu merasa curiga apabila mengesan sesuatu yang ganjil dalam imej imbasan X-ray bungkusan yang diisytiharkan sebagai ‘barangan peribadi’.
Semasa diperiksa, pegawai ICA menemui bungkusan mengandungi 4,368g ‘ice’, 5,110g kanabis, 4,900 biji pil ekstasi dan 4,750 biji pil Erimin 5 yang disorok dalam perabot itu.
Penemuan dadah di pusat pemeriksaan itu membawa kepada operasi penguatkuasaan antidadah oleh CNB di beberapa lokasi di republik ini, menurut kenyataan itu.
Sebanyak 4,622g heroin, 5,393g ‘ice’, 5,482g kanabis, 247g ketamin, 5,111 biji pil ekstasi dan 5,383 biji pil Erimin 5 yang kesemuanya bernilai hampir S$2.3 juta berjaya dirampas. – Bernama






























